https://www.facebook.com/kiatlangkah3/videos/1430804230551451/
"Japuik japuik tabao (Jemput jemput, terbawa/terikut). Semba semba putuih (Disambar sambar, putus). Tibo di kulik cabiak (Kena ke kulit, koyak). Tibo di urek putuih (Kena ke urat, putus). Tibo di tulang patah (Kena ke tulang, patah). Minuman angkau darah (Minuman engkau darah). Makanan angkau daging (Makanan engkau daging). Maut menyapuik angkau (Maut menjemput engkau)."
KERAMBIT KIAT ٣ : KEPENTINGAN DRILL/LATIHTUBI PUTAR (CAKRA) KERAMBIT
Atas permintaan, saya buat ulasan sedikit di sini mengenai perkara yang sangat penting dalam urusan permainan kerambit. Penting tidak bermakna keseluruhan dari hakikatnya. Kalau saya pecahkan permainan kerambit kepada 3 bahagian, maka permainan kerambit itu bagi kami di KIAT 3 adalah;
i) CAKRA (putaran) kerambit yang mengelirukan.
ii) JURUS (tangan) kerambit yang tersorok dan;
iii) LANGKAH (kaki) yang mematikan.
Jurus dan langkah kita tidak buat sebutan di sini. Oleh itu kami sentuh hanya sebahagian dari yang sebahagian saja di sini. Alam maya bukanlah tempat yang baik untuk urusan ini. Lebih baik dengan bersemuka dan hadhir.
Maka, kepentingan drill latihtubi cakra kerambit bagi maksud ulasan di sini adalah seperti berikut;
1. "Menghidupkan" kerambit di tangan sebagai sebahagian dari anggota badan dan bukan semata² "extension"/sambungan dalam bentuk suatu senjata. Keunggulan dalam kaedah putaran di sini ialah penekanan kepada kaedah mencangkuk jari pada kerambit secara spontan & rifleks untuk menghasilkan grip dan pegangan yang kukuh agar kerambit tidak tercampak/jatuh dari orbit pusingan.
Kita biasa dengar tindakbalas umum yang kata kerambit bahaya dan boleh "makan tuan". Apa senjata sekalipun boleh makan tuan jika tidak ada kemahiran dalam menggunakannya. Kerana itu kita kata perlu ada keserasian dan kesebatian dalam permainan kerambit.
2. Kaedah putaran kerambit adalah penting untuk mengubah posisi pegangan (grip) pada kerambit. Kemahiran dalam kaedah putaran juga membolehkan ia (kerambit) di pegang secara santai dan bersahaja kerana mengubah kedudukan kepada posisi siap siaga boleh dilakukan kurang dari 1 saat.
Ada 3 pukulan (strike) asas dalam kerambit, di sebabkan rekabentuknya yang melengkung & pegangan unik pada cincin jari telunjuk.
i) Pukulan ke sisi depan (forehand swing).
ii) Pukulan kilas (backhand). Dan;
iii) Pukulan tusuk ke depan atau depan dari bawah ke atas. Kerambit pada lazimnya bermata dua (bilah tajam pada 2 belah).
Kaedah putaran kerambit adalah penting untuk mengubah posisi bilah kerambit bagi menghasilkan 3 aliran pukulan (strike) yang baru. Subset/ pecahan baru ini tidak dapat dihasilkan tanpa mengubah cara pegang kedudukan asal kerambit. Kedudukan yang baru akan menghasilkan aliran pukulan yang baru seperti berikut;
i) Libas/lanting depan (forehand).
ii) Lanting/libasan kilas (backhand). Dan;
iii) Pakuk/pauk ke depan.
3. Kaedah putaran kerambit yang betul menjadi silapmata yang mengelirukan dan menyukarkan untuk musuh melihat arah sebenar ia akhirnya mendatang.
- KIAT LANGKAH ٣
Kerambit baru di atas peti,
Dimain budak tangannya luka;
Selidik dahulu dengan teliti,
Takkan cempedak berbau nangka
Sawit dirata bersilang-silang,
Kerap ditarah buang rumpunnya;
Kerambit senjata untuk menyerang,
Silap langkah padah akibatnya.