Friday, October 24, 2014

KELEBIHAN DAN FADHILAT BULAN MUHARRAM

DOA AKHIR-AWAL TAHUN http://al-faedah.blogspot.com/2012/11/muharram-1434-doa-akhir-awal-tahun.html Kelebihan Puasa Hari Asyura (10 Mu... thumbnail 1 summary
Oleh Cahaya Purnama
Muharram adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu bulan di mana Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (QS Al-Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah SAW telah menamakan bulan Muharram sebagai ‘Bulan Allah’ (Shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda SAW kepada Allah SWT lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah SWT tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khawas (khusus) di kalangan makhluk-makhlukNya.

Berkata Al-Hassan Al-Basri rahimahullah: “Sesungguhnya Allah SWT telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah SWT itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.”

Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

Kelebihan Hari Asyura & Amalan Pada 30 Zulhijjah & 1 Muharram
Abul-Laits Asssamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibnu Abbas r.a berkata: “Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura (yakni 10 Muharram), maka Allah SWT akan memberikan kepadanya pahala 10,000 malaikat; dan barangsiapa yang puasa pada hari Asyura, maka akan diberikan pahala 10,000 orang Haji dan Umrah, dan 10,000 orang mati syahid; dan siapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka Allah SWT akan menaikkan dengan rambut satu darjat. Dan barangsiapa yang memberi buka puasa orang mukmin yang berpuasa pada hari Asyura, maka seolah-olah memberi buka puasa semua umat Muhammad SAW dan mengenyangkan perut mereka.”

Sahabat bertanya: “Ya, Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura dari lain-lain hari.” Jawab Rasulullah SAW: “Benar!

• Allah SWT telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura,
• dan menjadikan Adam juga Hawa pada hari Asyura;
• dan menjadikan Syurga serta memasukkan Adam di syurga pada hari Asyura;
• dan Allah SWT menyelamatkan dari api neraka pada hari Asyura;
• dan menenggelamkan Fir’aun pada hari Asyura;
• dan menyembuhkan bala Nabi Ayyub pada hari Asyura;
• dan Allah SWT memberi taubat kepada Adam pada hari Asyura;
• dan diampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura;
• dan juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura;
• dan akan terjadi Kiamat pada hari Asyura.

PERISTIWA 10 MUHARRAM
10 Muharram – Dinamakan juga ‘Hari Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. Bertanya para sahabat: “Wahai Rasulullah! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain?”

Jawab Baginda SAW:
1.Allah SWT menciptakan alam, langit, bintang dan sebagainya
2.Allah SWT menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
3.Diciptakan lautan pada 10 Muharram
4.Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
5.Diciptakan Arasy, Luh Mahfuz pada 10 Muharram
6.Diciptakan Nabi Adam AS pada 10 Muharram
7.Dimasukkan Nabi Adam AS ke dalam syurga pada 10 Muharram
8.Dilahirkan Nabi Ibrahim AS pada 10 Muharram
9.Diselamatkan Nabi Ibrahim AS dari api Namrud pada 10 Muharram
10.Diselamatkan anaknya Nabi Ismail AS dari sembelihan pada 10 Muharram
11.Ditenggelamkan Fir’aun pada 10 Muharram
12.Diampunkan kesilapan Nabi Daud AS pada 10 Muharram
13.Dilahirkan Nabi Isa AS pada 10 Muharram
14.Dikeluarkan Nabi Yunus AS daripada perut ikan Nun setelah berada didalamnya selama 40 hari 40 malam pada 10 Muharram
15.Disembuhkan penyakit Nabi Ayub AS pada 10 Muharram
16.Diangkat Nabi Isa AS ke langit pada 10 Muharram
17.Diterima taubat Nabi Adam AS pada 10 Muharram
18.Dianugerahkan takhta kerajaan kepada Nabi Sulaiman AS
19.Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
20.Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
21.Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
22.Diselamatkan bahtera Nuh AS daripada tenggelam sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan pada 10 Muharram

Peristiwa lain;
1.Allah SWT menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
2.Diangkat Nabi Idris AS ke langit pada 10 Muharram
3.Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
4.Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan oleh Allah.
5.Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
6.Allah SWT menjadikan ‘Arasy.
7.Allah SWT menjadikan alam.
8.Allah SWT menjadikan Malaikat Jibril.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ikrimah RA berkata: “Hari Asyura ialah hari diterimanya taubatnya Nabi Adam. Dan ia pula hari turunnya Nabi Nuh dari perahunya. Maka ia berpuasa syukur; dan ia pula hari tenggelamnya Fir’aun dan terbelahnya laut bagi Nabi Musa AS dan Bani Israil. Maka mereka berpuasa; kerana itu jika dapat, engkau berpuasalah pada hari Asyura.”

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Maisarah berkata: “Barangsiapa yang melapangkan pada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah SWT akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu.”

Sufyan berkata: “Telah kami cuba, maka rasakan kebenarannya.”

Said bin Jubair dari Ibn Abbas RA berkata: “Ketika Nabi SAW baru berhijrah ke Madinah, mendapatkan kaum Yahudi puasa pada hari Asyura, maka ditanya kepada mereka tentang itu. Jawab mereka: “Hari itu Allah memenangkan Nabi Musa AS dari Bani Israil terhadap Fir’aun dan kaumnya. Maka kami puasa kerana mengagungkan hari ini”.

Maka sabda Nabi SAW: “Kami lebih layak mengikuti jejak Musa dari kamu“, maka Nabi SAW menyuruh sahabat supaya berpuasa.

Abul Laits berkata: “Dinamakan Asyura kerana ia jatuh pada sepuluh bulan Muharram.” Ada lain pendapat yang mengatakan hari Asyura kerana Allah SWT telah memuliakan pada Nabi-nabi dengan sepuluh kehormatan:

1.Allah SWT telah menerima taubat Nabi Adam AS
2.Allah SWT menaikkan darjat Nabi Idris AS
3.Hari berlabuhnya perahu Nabi Nuh AS
4.Nabi Ibrahim AS dilahirkan pada hari Asyura dan diangkatkan sebagai ‘Khalilullah’ (Kekasih Allah) juga diselamatkan dari api.
5.Allah SWT menerima taubat Nabi Daud AS
6.Allah SWT mengangkat Nabi Isa AS ke langit
7.Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS
8.Allah SWT menenggelamkan Fir’aun
9.Allah SWT mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan
10.Allah SWT mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman AS
Semua ini terjadi pada hari Asyura. Sebahagian lain berpendapat, dinamakan hari Asyura kerana ia kesepuluh dari kemuliaan-kemuliaan yang diberikan Allah SWT pada umat ini:
1.Bulan Rejab – Allah SWT menjadikannya sebagai kemuliaan bagi umat ini dan melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan umat ini ke atas umat yang lain.
2.Bulan Sya’ban – Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Nabi Muhammad SAW ke atas semua Nabi.
3.Bulan Ramadhan – Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Allah SWT terhadap semua makhluk.
4.Lailatul Qadar yang terlebih baik dari seribu bulan yang lain.
5.Hari Aidil Fitri sebagai hari pembalasan (penerimaan upah)
6.Hari-hari sepuluh (1 hingga 10 Zulhijjah) iaitu hari-hari untuk berzikir kepada Allah SWT.
7.Hari Arafah yang dapat menebus dosa dua tahun.
8.Hari Aidil Adha iaitu hari berkorban.
9.Hari Jumaat yang termulia dari semua hari.
10.Hari Asyura yang puasanya dapat menebus dosa satu tahun.

Dan masing-masing waktu yang tersebut itu ada kemuliaan dari Allah SWT diberikan kepada umat ini untuk membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka. Di bawah ini ada beberapa terjemahan hadith untuk panduan kita bersama:

Dari Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam.” (HR Muslim)

Abu Musa Al-Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar RA: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan siapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun.” (HR Albazzar)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA katanya Rasulullah SAW ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Jawab Baginda, “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang.” Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari Asyura. Jawab Baginda: “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu.” (HR Muslim)

Dari Aisyah RA katanya: “Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Nabi SAW pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga.” (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas RA katanya: “Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi pun bertanya: “Hari apa ini?” Jawab mereka: “Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah SWT melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya”. Sabda Nabi: “Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa”. Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari Asyura.” (HR Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu pada hari ke-sembilan dan ke-sepuluh Muharram dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi.” (HR Al-Baihaqi)

Semoga Allah SWT melimpahkan rezeki dan limpah kurniaNya untuk kita agar dapat mengamalkan dan memuliakan kedatangan awal Muharram dengan cara sambutan yang dilaksanakan oleh para Rasul, Anbiya, Siddiqin, Aulia Allah dan orang- orang soleh. Insya Allah. Wallahua’lam.

"Berfikir tanpa kotak"

Ar Ra'isul Mutakallim, Tabligh Ki Zabaan (Lidah Tabligh) Hadrat Maulana Umar Palanpuri Rahmatullahu 'alaihi berkata: "Orang yang kuat adalah orang yang sanggup bertahan dalam arus kerosakan. Orang yang lebih kuat adalah orang yang sanggup melawan arus kerosakan. Namun orang yang paling kuat adalah orang yang sanggup merubah arah arus kerosakan hingga menjadi akannya arus kebaikan.”

“Dajjal bersama tenteranya mempunyai kekuatan yang amat istimewa dan amat tersusun. Begitu juga Yakjuj dan Makjuj membuat huru-hara di seluruh dunia. Kehebatan mereka tiada siapa yang dapat melawan dan orang beriman berundur dengan hanya makan zikir dan tasbih."

"Allah zahirkan kudratnya hanya dengan labah-labah yang kecil dijadikan asbab untuk menggigit tengkuk-tengkuk mereka hingga mati. Mayat mereka begitu busuk diseluruh dunia. Orang beriman tidak tahan terus berdoa pada Allah. Allah ta'ala hantarkan hujan dan banjir menghanyutkan mereka ke laut. Inilah yang akan berlaku di akhir zaman nanti."

"Amalan dakwah memisahkan hak dan batil seperti air menghanyutkan sampah dari emas dan logam-logam yang lain. Namun pekerja² agama jika wujud cinta dunia dalam hati mereka seperti emas dan disaluti logam-logam lain, maka banyak masalah yang akan timbul.”