Saturday, October 21, 2017

Bayan Subuh 1 Muharram 1439h

Hadhratji Maulana Sa'ad Kandhlawy damat barakatuh, Markaz 'Alami Nizamuddin - 1 Muharram 1439 (21 September 2017) ↘↙ ↘↙ ↘↙ ↘↙ ↘↙... thumbnail 1 summary
Hadhratji Maulana Sa'ad Kandhlawy damat barakatuh, Markaz 'Alami Nizamuddin - 1 Muharram 1439 (21 September 2017)

↘↙ ↘↙ ↘↙ ↘↙ ↘↙ ↘↙ ↘↙

Hari ini setiap orang di dunia ini mempunyai usahanya masing-masing, samada usaha tersebut merupakan usaha agama maupun usaha yang berbentuk duniawi.

Dan setiap orang yang berusaha selalunya akan meyakini bahawa dalam usaha yang dijalankan ada kejayaan. Namun demikian, kenyataannya apa yang kita lihat bahawa tidak semua perkara yang di usahakan itu berhasil (berjaya).

Kerana di sisi Allah (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) kejayaan yang hakiki hanya akan tercapai apabila usaha yang di lakukan itu menepati sunnah Rasulullah ﷺ

Di samping itu kita juga melihat bahawa setiap yang berusaha itu pasti akan menanggung kesusahpayahan di dalam usahanya masing-masing. Di dalam bahasa Arab susah payah dinamakan mujahadah atau masyaqqah.

Namun demikian, menurut alim ulamak terdapat perbezaan yang besar antara masyaqqah dan mujahadah sekalipun pada zahirnya makna keduanya seakan sama.

Maksud masyaqqah ialah sebuah pengorbanan yang dilakukan oleh seseorang demi agama tanpa mengikuti pedoman sunnah Nabi ﷺ Justeru itu, dalam masyaqqah tiada janji pertolongan dari Allah (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) bahkan amalan yang tersebut adalah tertolak disisi Allah (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى).

Sedangkan mujahadah pula merupakan sebuah pengorbanan yang dilakukan oleh seseorang di jalan Allah  (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) dengan menepati sunnah Rasulullah ﷺ yang mana di sebalik mujahadah itu ada janji pertolongan dari ALLAH.

Yang dimaksudkan dengan nusratullah di sini bukanlah semata-mata pertolongan ghaib yang di datangkan ALLAH kepada para da'ie, bahkan lebih besar dari itu adalah pengorbanan yg dilakukan telah menjadi asbab kepada terbukanya pintu hidayah kepada umat ini hingga mereka berduyun-duyun memeluk Islam. (Rujuk surah An Nasr).

Dalil yang mengatakan bahawa masyaqqah itu tertolak di sisi ALLAH ialah kisah yang berlaku di zaman Saidina Umar (رضي الله عنه) di waktu itu di Madinah terdapat seorang rahib yang begitu hebat mujahadahnya atas agama.

Melihat keadaannya Hazrat Umar (رضي الله عنه) menangis seraya membaca ayat ini dari surah Al Ghoshiyah:

عَامِلَةٌ نَّاصِبَةٌ
"(Di dunia) Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah," (Al-Ghasyiyah 88: Ayat 3)

تَصْلٰى نَارًا حَامِيَةً
"(Di akhirat) Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas membara.. "(Al-Ghasyiyah 88: Ayat 4)

Ini terjadi kerana si rahib tadi bersusah payah untuk Allah tetapi tidak mengikuti petunjuk dari Rasulullah ﷺ

Di dalam Al-Quran dan hadis ada di sebutkan mengenai tanda-tanda iman dan tanda-tanda nifak.

Kedua sifat ini (iman dan nifak) dijelaskan oleh ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) di dalam Al-Quran agar orang-orang beriman mengambil iktibar darinya.

Hakikatnya, iman merupakan tanda bahawa seorang mukmin itu sihat di sisi ALLAH sementara nifak pula merupakan tanda bahawa pemilik sifat nifak ini sedang menderita sebuah penyakit iaitu penyakit nifak.

Selalunya penyakit itu tersembunyi dan yang kelihatan hanyalah symtomnya saja. Begitulah iman dan nifak kita hanya mampu melihat kepada tanda-tandanya saja. Al Quran menyebut bahawa di dalam hati orang munafik itu ada penyakit.

Tanda roh kita sihat adalah apabila kita yakin kepada janji Allah (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) sementara tanda roh kita sakit adalah apabila kita merasa ragu terhadap janji-janji ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) .

Dan sudah sunnatullah bahawa ALLAH akan menaburkan janjiNya kepada orang mukmin di saat mereka sedang hebat di uji oleh ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى).

Contohnya dalam peperangan khandak umat Islam sedang menghadapi ujian yang besar, dengan bilangan musuh yg begitu ramai, tambahan diwaktu itu mereka sedang bertarung menghadapi kebuluran.

Di kala itulah Nabi ﷺ menyampaikan berita gembira tentang kejatuhan empayar Romawi dan Parsi bahkan kerajaan Arab di tangan umat Islam.

Orang-orang munafik mencibir-cibirkan janji Nabi ﷺ tersebut dengan mengatakan: Nak makan saja pun kita tak mampu bagaimana kita akan mampu menakluki kerajaan Kaisar dan Kisra.

Sementara orang beriman keimanan mereka semakin bertambah dengan berita gembira tersebut.

Sebesar nikmat yang ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) kurniakan kepada para hambanya adalah ilmu dan harta.

Pada kedua nikmat ini ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) meletakkan kebaikan yang besar malah kedua nikmat inilah yang menjadi asbab kemuliaan bagi para pemiliknya.

Tujuan ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) menganugerahkan kedua nikmat ini kepada para hambanya adalah untuk menguji dan menilai sejauh manakah kesungguhan mereka dalam menyampaikan amanah-amanah ini kepada para mustahiqin (golongan yang berhak menerima kedua pemberian yang besar ini) dan siapa pula yang berkhianat terhadap amanah ini..

Sebagaimana seorang hartawan perlu bergerak untuk sampaikan amanah harta kepada mereka yang berhak menerima hartanya maka demikianlah juga dengan para alim ulama' wajib bergerak untuk menyampaikan amanah ilmunya ke seluruh alam.

Dan di samping itu sebagaimana harta itu akan bertambah bila dibelanjakan dan akan akan berkurang bila disimpan maka begitu jugalah halnya dengan ilmu akan bertambah bila disebarkan dan akan berkurang bila tidak disebarkan.

Seorang da'ie memerlukan dua modal untuk menjalankan dakwah. Pertamanya dakwah dan keduanya ilmu.

Antara dakwah dan ilmu terdapat kesinambungan dan kelaziman yang tak boleh di pisahkan, sehingga tak dapat diterima akal bahawa seorang daie akan mampu berdakwah tanpa bimbingan ilmu dan begitu juga sebaliknya seorang berilmu yang tidak terbayangkan bahawa mereka berilmu namun tidak menjalankan dakwah.

Di medan dakwah ini ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) akan meletakkan halangan yang banyak dan besar dihadapan para daie untuk menguji sejauh mana keikhlasan dan istiqamahnya para da'ie tersebut di jalanNya.

Hari ni kebanyakan orang berfikir bahawa saat menghadapi ujian kita perlu menyelesaikan masalah kita terlebih dahulu sebelum meneruskan dakwah.

Hakikatnya berdasarkan amalan dan pengalaman para anbiya alaihimussalam di saat mereka hebat di uji oleh ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) mereka bukan sekadar memilih untuk meneruskan dakwah bahkan mereka meyakini bahawa melalui cara beristiqamah di atas dakwahlah ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) akan menyelesaikan seluruh masalah yang dihadapi.

Nabi Yusuf  عليه السلام difitnah oleh Zulaikha hingakan baginda disumbatkan ke dalam penjara.

Dalam keadaan ujian yang begitu berat sekalipun baginda عليه السلام tidak meninggalkan tanggungjawab dakwahnya yang di amanahkan oleh ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) kepadanya.

Telah menjadi sifat semulajadi para anbiya dan para sahabat bahawa dalam apa jua keadaan sekalipun, samaada senang maupun susah, mulia atau hina, mereka tidak terkesan dengan suasana bahkan mereka hanya terkesan dengan perintah ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) .

Dan di dalam melaksanakan perintah ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) mereka tidak pernah mencari alasan dan sebab bagi hukum tersebut. Bahkan yang mereka tahu hanyalah bagaimana untuk menyempurnakan hukum tersebut.

Ujian pertama yang ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) turunkan ke atas para hambanya adalah ujian taat lalu di ciptakan Nabi Adam عليه السلام untuk menguji ketaatan para Malaikat dan Iblis laknatullah alaih.

Para malaikat sebaik saja menerima hukum tersebut langsung taat tanpa bertanya sebab dan alasan bagi hukum tersebut.

Sebaliknya Iblis laknatullah sibuk bertanyakan sebab dan alasan sebelum melaksanakan hukum tersebut. Jika perintah tersebut menepati apa yg dikehendaki maka dia akan taat, namun jika sebaliknya maka dia akan ingkar.

Tatkala Iblis ditanya apakah sebabnya beliau enggan bersujud kepada Adam عليه السلام maka alasan yang diberikan adalah kerana Adam lebih rendah martabatnya berbanding dirinya.

Adam orang baru sementara saya orang lama, Adam dari tanah yang berada di bawah sebaliknya saya dari api yang secara adatnya berada di atas.

Kerana sudah terbiasa dengan tabiat mencari alasan untuk tidak taat maka sejak di usir dari syurga lagi dia telah berazam untuk terus ingkar kepada ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى)  sehingga ke hari kiamat.

Bahkan dia akan menggunakan cara yg sama untuk mengeluarkan Adam عليه السلام dari syurga iaitu dengan cara mengajar Adam عليه السلام untuk mencari sebab mengapa ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) melarang baginda dan pasangannya (Hawa عليه السلام) dari menghampiri pohon khuldi.

Dewasa ini meskipun umat Islam sibuk dengan urusan agama (ilmu, ibadah dll) namun demikian kita melihat ada dua kekurangan yang ketara wujud dalam diri mereka iaitu pertamanya ialah hilangnya keindahan dalam amal ibadah mereka dan keduanya lenyapnya sifat istiqamah dan kemantapan pendirian mereka dalam agama.

Puncanya adalah kerana umat ini secara ijtima'ienya sudah meninggalkan tanggungjawab dakwah diperingkat #alami.

Kerana sesungguhnya dakwah merupakan satu-satunya amal dalam Islam yang mampu mengembalikan keindahan dalam amalan umat serta akan melenyapkan kebatilan dalam diri mereka.

Di samping itu untuk mengeluarkan umat ini dari kegelapan maka dakwah harus dijalankan dengan mengeluarkan umat ini dari kaedah penyebaran maklumat secara biasa.

Keluarkan mereka dari kefahaman bahawa tiada salahnya menyebarkan dakwah melalui media massa atau elektronik.

Dan keluarkan mereka dari kefahaman bahawa setelah berdakwah melalui media maka dengan itu tanggungjawab dakwah saya sudah terlaksana.

Hakikat sesungguhnya, menurut Maulana Ilyas (رحمة الله عليه) bahawa perkara haq tidak akan tersebar melalui perantara (medium) yang batil kerana perkara haq hanya akan tersebar melalui jalan yang haq. Jika seandainya kita menyebarkan perkara haq melalui perantara bathil maka natijahnya kebathilan yang akan tersebar.

Mengapa kita dilarang berdakwah melalui media? Apakah sememangnya salah?

Hadhrat Maulana Sa'ad mengatakan bahawa pertanyaan di atas adalah keliru.

Kerana menggunakan media untuk urusan duniawi dan menyelesaikan keperluan manusia maka sudah tentu dibolehkan di sisi syara'.

Namun untuk urusan agama tidak digalakkan menggunakan teknologi kerana dakwah harus dijalankan mengikut sunnah iaitu manusia berjumpa manusia (menggunakan tenaga manusia bukan mesin).

Dalilnya, azan merupakan dakwah yang sempurna. Selepas perintah solat disyariatkan Nabi ﷺ mengumpulkan para sahabatnya untuk bermesyuarat tentang bagaimana mahu menjemput umatnya menunaikan solat berjemaah. Dan solat ini urusan ijtima'ie bukan infiradi harus menepati tuntunan syarak.

Lalu para sahabat mulai menyampaikan syor (cadangan) masing-masing dan setiap cadangan tersebut adalah berdasarkan amalan yang biasa dilakukan masyarakat sedunia untuk mengumpulkan manusia.

Menyalakan api, memukul gendang, menggoncangkan loceng dan sebagainya. Kesemua adat kebiasaan tersebut dinafikan oleh Baginda ﷺ kerana adat tidak terpakai untuk urusan syara'.

Akhirnya selepas menafikan kaedah tersebut maka ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) tunjukkan caranya bagaimana untuk menjemput umat ini ke mesjid iaitu melalui cara melaungkan azan.

Hari ini ramai orang menyangka bahawa cara berdakwah itu luas, bergantung kepada cara masing-masing. Tiada salahnya berdakwah melalui media.

Hakikatnya berdakwah melalui media hanya akan menyebarkan maklumat agama tetapi bukan menyebarkan agama.

Memajukan #teknologi tetapi tidak memajukan agama. Bahkan maklumat yg tersebar melalui media tidak mampu memacu ummat kepada amal kerana tiadanya mujahadah di dalamnya.

Nabi ﷺ disamping menuliskan surat mengajak Raja Romawi dan Parsi memeluk Islam, namun baginda ﷺ tidak menganggap bahawa surat tersebut sudah memadai sebagai medium dakwah.

Bahkan baginda ﷺ tetap saja mengutuskan sahabatnya untuk membawa surat tersebut (dakwah bersama sifat mujahadah), kerana Nabi ﷺ memahami bahawa dakwah dalam keadaan mujahadah itu akan menarik pertolongan ghaib.

Justeru itu, ketika mana Raja Kisra mengoyakkan surat tersebut maka Nabi ﷺ mendoakan bahawa semoga ALLAH mengoyakkan kerajaan Kisra sebagaimana dia mengoyakkan suratku.

Hasil dari dakwah Nabi ﷺ yang menepati kehendak ALLAH (سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى) maka pertolongan ghaib telah datang iaitu hanya dengan doanya saja boleh meruntuhkan empayar Kisra.

Berdakwah melalui media tidak mampu meruntuhkan kebathilan juga tidak akan berhasil untuk membuka pintu hidayah kerana syarat untuk membuka pintu hidayah adalah mujahadah dan syarat untuk meruntuhkan kebathilan adalah berdakwah mengikut sunahnya Rasulullah ﷺ.

Ada sebahagian orang yang mengkritik saya kerana melarang mereka membaca Al-Quran melalui telefon bimbit.

Kalau ditanya dimanakah salahnya? Memang tak nampak salahnya. Tetapi keadaan seorang yang membaca Al Quran melalui telefon bimbit itu tak ubah seperti seorang yang menghidangkan air sharbat kepada tetamunya (niatnya baik) tapi dengan menggunakan bekas (lotha) yang selalu digunakan di tandas (WC).

Malah kalau bekas tersebut baru dibeli sekalipun namun begitu amatlah tidak patut menghidangkan air sharbat dengan bekas tersebut untuk tamu kita.

Apa bezanya membaca Al Quran melalui telefon bimbit dengan melihat mushaf?

1.Takzim - Saidina Ikrimah (رضي الله عنه) ketika membaca Al Quran beliau membaca sambil memegangnya seraya mengatakan: Ini merupakan kalam dari Tuhanku.[1]

Sementara membaca Quran melalui telefon bimbit tiada takzim didalamnya.

[ 1. Redaksi: Diriwayatkan : Ketika Ikrimah bin Abu Jahal (رضي الله عنه) membuka Mushaf Alquran , maka pengsanlah dia. Dan saat dia sedar, ia berkata “Ini adalah Kalam“. Oleh karena itu barang siapa mengagungkan Kalam Nya berarti mengagungkan Dzat Allah 'Azza Wajalla. ]

2. Membaca Al Quran dengan mushaf wajib dalam keadaan berwudhu sementara telefon bimbit tiada syarat berwudhu.

3. Al Quran tidak bercampur dengan perkara batil sedangkan telefon bimbit bercampur baur dengan perkara batil.

Oleh kerana itulah saya mengatakan bahawa sangat penting dalam berdakwah untuk mengeluarkan umat ini dari keselesaan ("dakwah" melalui telefon bimbit) dan bawa mereka kepada jalan mujahadah.

No comments

Post a Comment

"Berfikir tanpa kotak"

Ar Ra'isul Mutakallim, Tabligh Ki Zabaan (Lidah Tabligh) Hadrat Maulana Umar Palanpuri Rahmatullahu 'alaihi berkata: "Orang yang kuat adalah orang yang sanggup bertahan dalam arus kerosakan. Orang yang lebih kuat adalah orang yang sanggup melawan arus kerosakan. Namun orang yang paling kuat adalah orang yang sanggup merubah arah arus kerosakan hingga menjadi akannya arus kebaikan.”

“Dajjal bersama tenteranya mempunyai kekuatan yang amat istimewa dan amat tersusun. Begitu juga Yakjuj dan Makjuj membuat huru-hara di seluruh dunia. Kehebatan mereka tiada siapa yang dapat melawan dan orang beriman berundur dengan hanya makan zikir dan tasbih."

"Allah zahirkan kudratnya hanya dengan labah-labah yang kecil dijadikan asbab untuk menggigit tengkuk-tengkuk mereka hingga mati. Mayat mereka begitu busuk diseluruh dunia. Orang beriman tidak tahan terus berdoa pada Allah. Allah ta'ala hantarkan hujan dan banjir menghanyutkan mereka ke laut. Inilah yang akan berlaku di akhir zaman nanti."

"Amalan dakwah memisahkan hak dan batil seperti air menghanyutkan sampah dari emas dan logam-logam yang lain. Namun pekerja² agama jika wujud cinta dunia dalam hati mereka seperti emas dan disaluti logam-logam lain, maka banyak masalah yang akan timbul.”