Dalam sebuah hadith sohih Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah RadhiAllahu 'anha bertanya kepada Rasulullah Sollallahu 'alaihi wa sallam:
“Wahai Rasulullah Sollallahu 'alaihi wa sallam, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Bacalah:
للَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى
“Allahumma innaka ‘afuwwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni waghfirli.”
(Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah dan yang suka mengampunkan, maka ampunilah daku.)
ADA satu malam rahsia yang amat istimewa pada Ramadan tetapi waktu sebenar berlakunya malam itu dirahsiakan Allah SWT daripada pengetahuan manusia.
Pada malam itu, ribuan malaikat bersiap sedia menunggu untuk mengangkat ibadat hamba Allah yang beribadat dengan penuh keimanan dan ketakwaan, dari alam dunia ke langit.
Malaikat Jibril bersama malaikat lain turun ke bumi untuk mendoakan setiap manusia yang beribadat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT pada malam itu dan Allah menyatakan kepada malaikat bahawa doa yang dipohon kepada-Nya ketika itu akan dimakbulkan.
Lebih istimewa adalah ibadat seorang hamba Allah pada malam itu digandakan sehingga menyamai nilai ibadat yang dilakukan selama 1,000 bulan atau selama 83 tahun empat bulan seperti firman-Nya:
“Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan,” (al-Qadr, ayat ketiga).
Pada malam lailatul qadar itu juga, Allah memberikan nilai keampunan yang terlalu tinggi untuk hamba-Nya yang beribadat seperti sabda Rasulullah SAW:
“Barang siapa menunaikan ibadat pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, Allah akan mengampunkan segala dosa yang sudah dilakukannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Demikianlah antara gambaran betapa istimewanya malam lailatul qadar, suatu malam paling mulia dan berkat yang berlaku hanya sekali dalam 365 hari, setiap tahun.
Malam lailatul qadar adalah anugerah utama Allah SWT khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW saja malah berlaku pula hanya pada Ramadan dan tidak pada bulan lain.
Mengikut Imam Malik, sejarah malam lailatul qadar bermula apabila Nabi Muhammad SAW sedar yang usia umat Baginda tidak sepanjang usia umat terdahulu, hanya antara 60 tahun hingga 70 tahun, malah Rasulullah SAW sendiri wafat ketika usianya 63 tahun.
Menyedari hakikat itu, Rasulullah berdoa kepada Allah SWT memohon supaya umatnya dapat beribadat sama dengan nilai ibadat umat terdahulu lalu disebabkan kasihnya Allah SWT terhadap baginda, Allah SWT mengurniakan malam lailatul qadar.
Imam Qurtubi pula menjelaskan bahawa dikurniakan malam lailatul qadar itu sebagai tanda cintanya Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan umat baginda melebihi umat lain dan dikurniakan malam istimewa itu juga bagi menghiburkan hati Rasulullah SAW.
Bagaimanapun, suatu perkara yang sering diperdebatkan ketika membicarakan soal malam lailatul qadar adalah pada malam bilakah ia akan berlaku?
“Hakikatnya tiada siapa mengetahui bila malam lailatul qadar akan berlaku termasuk Nabi Muhammad sendiri. Dalam satu kisah yang diriwayatkan Imam Muslim, diceritakan yang Rasulullah hampir memberitahu sahabat mengenai waktu berlaku lailatul qadar tetapi akhirnya tidak kesampaian,” katanya.
Selepas kerap ditanya sahabat, Allah SWT akhirnya memberi wahyu kepada Rasulullah dengan menerangkan bilakah berlakunya malam lailatul qadar.
“Selepas menerima wahyu daripada Allah SWT, Baginda berjalan untuk menemui sahabat bagi memberitahu tanda berlakunya malam itu. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, Baginda menemui dua sahabat yang sedang bertengkar.
Baginda kemudian sibuk meleraikan pertengkaran dua sahabat itu dan akhirnya Rasulullah SAW terlupa tarikh atau masa malam al-Qadr seperti diwahyukan Allah.
Di kalangan ulama berpendapat bahawa antara hikmah terlupanya Rasulullah SAW akan tanda-tanda malam lailatul qadar adalah supaya manusia berusaha sendiri mencari malam berkenaan. (Ustaz Roslan Mohamed, Pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya)
Allah hanya memberikan hidayah kepada mereka yang berusaha mencarinya sekali gus menggambarkan yang malam lailatul qadar hanya akan diberi kepada mereka yang ikhlas beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan.
Yang dirahsiakan malam 1,000 bulan itu kerana membabitkan persoalan ketentuan qada dan qadar Allah SWT.
Jika Nabi Muhammad SAW sudah memberitahu waktu berlakunya malam lailatul qadar, maka tidak ramai lagi umat Islam akan berusaha sebaliknya hanya menunggu dan beribadat pada malam itu saja dan tidak pada malam lain.
Penelitian terhadap hadis Rasulullah SAW mendapati Baginda sekadar menyatakan malam lailatul qadar itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan selain malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan serta terdapat hadis menyatakan pada malam 27 Ramadan.
Malam lailatul qadar penuh dengan rahmat kepada umat Islam yang patuh mengerjakan ibadat sepanjang Ramadan.
Beberapa ulama muktabar antaranya Imam Nawawi dan Ibnu Hazm berpendapat bahawa malam lailatul qadar bergilir dari setahun ke setahun, misalnya jika tahun ini berlaku pada malam 21 Ramadan, tahun hadapan akan berlaku pada malam 23 Ramadan.
Jumhur ulama menyatakan lailatul qadar berlaku pada malam 27 Ramadan berdasarkan hadis daripada Ubai ibn Kaab:
“Bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kami menunaikan ibadat pada malam itu dan awal pagi 27 Ramadan, tandanya ialah matahari pada awal pagi dalam keadaan tenang, putih dan tidak pucat cuacanya,” (riwayat Tirmizi).
Sahabat Rasulullah SAW, Ibnu Abas pula berijtihad bahawa malam lailatul qadar adalah malam ke-27 Ramadan berdasarkan penelitiannya terhadap rahsia surah al-Qadr.
Beliau mendapati ada 30 perkataan dalam surah berkenaan dan perkataan ‘Salamun Hiya’(Sejahteralah malam itu) terletak pada perkataan ke-27.
“Bagaimanapun, apa yang Nabi Muhammad SAW tuntut bukanlah untuk mencari bilakah malam itu akan berlaku tetapi Baginda menyuruh supaya kita beribadat sebanyak mungkin pada 10 hari terakhir Ramadan.
“Itu yang patut diperbetulkan dalam persepsi masyarakat dan diamalkan, malah sunnah Rasulullah, baginda sendiri menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan.
Jika kita kita beribadat terus-terusan pada 10 malam terakhir Ramadan, maka kita pasti akan beribadat pada malam lailatul qadar malah kita tidak akan rugi apa-apapun jika beribadat pada malam selain malam itu.
Justeru, seperti juga saranan Ibnu Qayyim, umat Islam seharusnya memperbanyakkan ibadat pada malam itu dengan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan bertaubat, bertahajud, memohon doa, bersedekah jariah, bermuhasabah, bertafakur dan menangisi segala dosa silam.
Amalan mulia pada 10 malam terakhir Ramadan wajar diteruskan pada bulan lain, kerana ia boleh membentuk peribadi dan akhlak Muslim sejati.
Ibadat tidak sepatutnya pada Ramadan saja kerana hubungan Allah dan umat Islam perlu sentiasa diperkukuhkan.
Sikap syukur kepada rahmat Allah akan mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya. Perbanyakkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan, akan membentuk peribadi Muslim yang takwa dan sujud kepada Allah.
2. Kaedah mencari malam Lailatul Qadr mengikut panduan Iman Al-Ghazali;
1. Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Ahad atau Rabu, jangkaan malam Lailatul Qadr nya pada malam yang ke-29.
2. Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Isnin, jangkaan malam Lailatul Qadr nya pada malam yang ke-21.
3. Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, jangkaan malam Lailatul Qadr nya pada malam yang ke-27.
4. Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Khamis, jangkaan malam Lailatul Qadr nya pada malam yang ke-25.
5. Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Sabtu, jangkaan malam Lailatul Qadr nya pada malam yang ke-23
Berkata Sheikh Abu Hassan seorang ulama' "Selama baligh ku tiada luput akan daku malam Lailatul Qadar dengan kaedah yang tersebut ini."
Sheikh Abu Hassan menyatakan beliau sentiasa meraih Lailatul Qadar pada malam yang tepat sejak mula baligh, setelah mengikut petua di atas. Beliau menyatakan sekiranya puasa pertama jatuh pada hari Ahad, seperti tahun ini (1435H), maka ‘Lailatul Qadar’ akan berlaku pada malam 29 Ramadhan.
Walaubagaimanapun, janganlah beribadat pada malam ini sahaja, carilah malam Qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga.
Ini sebagai panduan, Imam-imam yang lain ada kaedahnya yang tersendiri mengikut pengalaman mereka.
Pendapat Imam Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi pula; “Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan.”
Pandangan Imam Syafi'i; malam Lailatul Qadr pada malam ke-21 atau malam ke-23
'Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Carilah malam Lailatul-Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan." (H.R Bukhari, Muslim, at-Tarmizi dan Ibnu Majah)
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa baginda saw bersabda: "Carilah malam Lailatul-Qadr di dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan; pada malam yang ke 21, 23 dan 25."(H.R. Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai, at-Tarmizi dan Imam Malik)
Hasan al-Basri meriwayatkan bahawa tanda-tanda turunnya Malam Lailatul-Qadar, diantaranya ialah suasana alam pada malam itu tenang, damai dan tenteram, tidak panas dan tidak pula dingin. Cahaya matahari keesokan harinya tidak terik.
Wallahu'alam. (Rujukan: As-Shaykh Al-Fadhil Ustaz Mohamad Hasbi bin Hassan. Kaifiat Mencari Malam Lailatul Qadr mengikut panduan Imam Al-Ghazali)
Pada malam al-Qadr, Allah سبحانه وتعالى menyuruh Jibril turun ke bumi. Lalu turun Jibril dengan perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau. Lalu dipacakkan di atas Kaabah.
Malaikat mempunyai 600 sayap, setengahnya tidak dibuka kedua-dua sayapnya, melainkan pada malam al-Qadar. Ketika dibukakan kedua-dua sayapnya itu, ia boleh mencapai hingga sampai dari timur ke barat (Masyrik ke Maghrib) untuk menyelamatkan umat Muhammad.
Lalu, mereka memberi salam kepada setiap orang yang berjaga pada Lailatul Qadar beribadat kerana mencari keredaan Allah سبحانه وتعالى. Begitu juga kepada orang yang duduk beribadat, solat, berzikir dan berjabat tangan sesama mukmin serta mengucap amin doa orang mukmin hingga terbit fajar Subuh.
Ketika terbit fajar malaikat Jibril pun menyeru kepada para malaikat: “Ar-Rahil! Ar-Rahil!” (Pulanglah! Pulanglah!).
Kepulangan mereka ke Arasy inilah yang menjadikan suasana pagi berikutnya kelihatan redup dan nyaman walaupun matahari kekal menyinarkan cahayanya.
3. Rahsia Lailatul Qadar Menurut Ihya' 'Ulumiddin
Oleh Ustaz Abu Zulfiqar
Dan Malam Al-Qadar adalah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut. Dan itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala:
“Sesungguhnya Kami turunkan pada Malam Al-Qadar.” (Al-Qadr:1)
Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya.
Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, sebelum kosong cita-citanya daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla.
Dan itulah urusan seluruhnya. Dan pangkal semuanya itu adalah dengan menyedikitkan makanan. Begitulah kata-kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali Rahmatullahu 'alaihi dalam kitab Ihya’nya.
4. Huraian
Alam malakut secara ringkasnya ialah alam ghaib yang antara penghuninya ialah para malaikat. Alam ini terhijab daripada pandangan bangsa jin dan manusia, sebagaimana alam jin terhijab kepada pandangan manusia.
Menurut Imam Al-Ghazali Rahmatullahu 'alaihi, sebahagian daripada alam malakut ini terbuka pada Malam Al-Qadar.
Sabda baginda Rasulullah Sollallahu 'alaihi wa sallam (yang bermaksud):
“Jikalau tidaklah kerana syaitan-syaitan itu berkeliling atas hati anak Adam, nescaya anak-anak Adam melihat ke alam malakut yang tinggi.” (Hadits Riwayat Ahmad)
Sebelum melanjutkan huraian ini, hendaklah kita fahami bahawa “mendapat” Lailatul Qadar itu sekurang-kurangnya ada 4 jenis:
1. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar berlaku
2. Dapat kelebihan Malam Al-Qadar
3. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar dan dapat kelebihannya.
4. Dapat tahu, dapat kelebihannya dan dapat ‘menyaksikan’ Malam Al-Qadar itu.
Dapat tahu Malam Al-Qadar adalah dengan terjumpa perkara yang pelik-pelik. Antara kejadian yang biasa dikisahkan orang adalah seperti terlihat begitu banyak tahi bintang berguguran, air tasik tidak berkocak, pokok-pokok merendahkan diri, kecerahan di mana-mana, orang yang kacak berserban dan berjubah putih lagi bercahaya tubuhnya, alam terlalu sunyi, tercium bau yang sangat wangi dan pelbagai lagi.
Ada kemungkinan dengan menemui hal-hal sebegini bermaksud malam itulah Malam Al-Qadar, dan ada kemungkinan juga bukan Malam Al-Qadar. Namun ‘dapat Lailatul Qadar’ pada pandangan kebanyakan orang adalah dengan dapat melihat atau mengalami perkara yang ajaib-ajaib seperti yang disebutkan tadi.
Perkara-perkara sebegitulah yang dicari-cari dan dikejar-kejar oleh mereka. Jika berjaya melihat atau mengalami sesuatu yang luar biasa pada malam itu, bukan main puas hati dan kadang-kadang sampai ke tahap berbangga dengan orang lain yang gagal memperolehinya.
Padahal “dapat Lailatul Qadar’ seperti itu bukanlah ‘dapat lailatul Qadar’ sebagaimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah Sollallahu 'alaihi wa sallam.
Jenis kedua – dapat kelebihan Malam Al-Qadar.
Jenis inilah yang dikehendaki oleh Rasulullah Sollallahu 'alaihi wa sallam, iaitu dengan meningkatkan keimanan dan membanyakkan amal pada malam-malam Ramadhan, dan kebetulan perlakuan itu bertepatan dengan malam yang berlakunya Malam Al-Qadar.
Dapat kelebihan Malam Al-Qadar tanpa mengetahui yang malam itu adalah Malam Al-Qadar, adalah jauh lebih baik daripada dapat tahu malam itu Malam Al-Qadar tetapi tidak menghabiskan masa untuk meningkatkan keimanan dan membanyakkan amal padanya.
“Adalah Rasulullah Sollallahu 'alaihi wa sallam apabila masuk sepuluh (hari) yang akhir, maka (baginda) melipatkan tikar (menyimpan tempat tidurnya), mengikatkan pinggang dan telah membiasakan diri dan keluarganya sebegitu.” (Bukhari, Muslim)
Jenis ketiga – inilah yang lebih baik, iaitu dengan mengerjakan amal pada malam itu dan mengetahui yang malam itulah Malam Al-Qadar.
Jenis keempat? Ikuti huraian di bawah.
Imam al-Ghazali Rahmatullahu 'alaihi dan orang-orang soleh lain pada zamannya punya banyak pengalaman tentang Lailatul Qadar. Oleh itu Imam Al-Ghazali Rahmatullahu 'alaihi memberikan petunjuk kepada kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar.
Nasihat yang diutarakan olehnya di sini adalah dengan menyedikitkan makanan melalui istilah yang digunakannya iaitu “mengosongkan perutnya”.
Sesiapa yang banyak makan pada malam itu sebagaimana istilah yang digunakannya iaitu “menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan”, nescaya orang itu terhijab/ terdinding daripada mendapat Lailatul Qadar.
Kata Al-Ghazali: “Bahawa tidak membanyakkan makanan yang halal ketika berbuka, di mana rongganya penuh melimpah. Maka tidak adalah karung yang lebih dimarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang penuh dengan (makanan) yang halal.”
Berdasarkan petua ini, maka para pencari Lailatul Qadar hendaklah makan sekadarnya sahaja pada waktu malam bulan Ramadhan, dari waktu berbuka hinggalah ke sahur. Antara amalan yang tidak sesuai pada pandangan Imam Al-Ghazali Rahmatullahu 'alaihi adalah sengaja berbuka puasa dengan pelbagai jenis makanan pada setiap hari.
Perlakuan ini tidak ubah seperti mengumpulkan sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam untuk di makan sekaligus pada waktu Maghrib.
Cuba lihat juadah berbuka kita, bukankah semua makanan yang disebutkan itu ada? Apalah ertinya puasa sebegini?
Berbukalah dengan makan malam yang biasa kita makan pada malam-malam bukan Ramadhan.
Al-Ghazali juga memperingatkan kita agar tidak memuaskan nafsu makan dengan memakan makanan yang tidak kita makan pada bulan-bulan lain.
Maksudnya pada setiap hari ada saja makanan dan kuih-muih yang sukar kita temui pada hari-hari biasa, tetapi kita mencarinya pada bulan Ramadhan.
Tidak mengapa jika sesekali kita melebihkan juadah untuk menggembirakan sedikit hati kita terutamanya kanak-kanak, para muallaf, orang yang sedang kita dakwahkan dan orang yang baru belajar-belajar hendak memperbaiki keagamaannya.
Hal-hal yang disebutkan inilah yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali dengan kata-katanya : “Bagaimanakah dapat memperolehi faedah daripada puasa, memaksakan (menyusahkan) musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan hawa nafsu, apabila diperoleh oleh orang yang berpuasa ketika berbuka apa yang tidak diperolehnya pada siang hari?
Kadang-kadang bertambah lagi dengan pelbagai macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan dengan menyimpan segala macam makanan itu untuk bulan Ramadhan. Maka dimakanlah segala makanan itu dalam bulan Ramadhan, apa yang tidak dimakan dalam bulan-bulan (lain) ini.”
Katanya lagi : “Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan kekuatan yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan.
Dan yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan makanan, iaitu dengan memakan makanan yang dimakan setiap malam kalau tidak berpuasa.
Apabila dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari kepada apa yang dimakan pada malam, maka tidaklah bermanfaat dengan puasanya itu.”
Bayangkan, dari pagi hingga ke petang kita kosongkan perut. Semakin lama semakin lapar. Pada waktu berbuka, tahap kelaparan dan keinginan kita mencapai kemuncaknya, lebih hebat daripada kelaparan dan keinginan pada hari-hari biasa.
Tiba-tiba dalam keadaan sebegitu, kita lambakkan dengan pelbagai makanan dan minuman yang lazat-lazat di depan mata. Akibatnya, lebih kuatlah rasa lapar dan melonjaklah nafsu makan.
Akhirnya, kita makan dengan lebih bernafsu lagi berbanding makan pada hari-hari yang tidak berpuasa. Ke mana perginya puasa dan Ramadhan yang berperanan sebagai penunduk hawa nafsu?
Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali Rahmatullahu 'alaihi: “Apabila perut ditolak (dikosongkan) daripada makanan sejak pagi sampai ke petang, sehingga perut itu bergolak keinginannya dan bertambah kuat kegemarannya (keinginannya untuk makan), kemudian disuguhkan (dihidangkan) dengan makanan yang lazat-lazat dan kenyang, nescaya bertambahlah kelazatan dan berlipatgandalah kekuatannya, serta membangkitkan nafsu syahwat itu, apa yang diharapkannya tadi tenang, jikalau dibiarkan atas kebiasaannya.”
Berbalik kepada Malam Al-Qadar. Dikatakan tadi malam yang sangat istimewa itu terhijab daripada kita hasil banyaknya makan pada waktu malam. Terhijab yang dimaksudkan di sini ada dua jenis:
1. Terhijab daripada ‘menyaksikan’ malam itu kerana penuhnya makanan membenakkan mata hati. Umumnya mata hati yang benak tidak akan mampu melihat alam malakut ataupun kesan-kesannya.
2. Terhijab daripada membanyakkan amal pada malam itu kerana perut yang kenyang mewariskan lemah badan, mengantuk dan malas. Malam istimewa itu pun berlalu begitu sahaja kerana pengisian kita dipenuhi dengan banyak berehat dan tidur.
Alangkah ruginya jika kita sendiri yang menghijab Lailatul Qadar itu, padahal kita sering mendakwa kita rindu, ternanti-nanti dan tercari-cari malam berlangsungnya.
Oleh itu, tindakan yang mesti kita ambil untuk 10 malam terakhir Ramadhan, dan sepatutnya pada seluruh Ramadhan, adalah dengan menyedikitkan makan. Bagaimana itu? Mestikah kita berlapar siang dan berlapar pula pada malamnya?
Tidak! Pada waktu malam, makan dan minumlah sekadar untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga, bukannya sampai kenyang dan puas.
InsyaAllah dengan kaedah ini, semakin cerah peluang kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar, menghidupkannya, malah ‘menyaksikannya’.
Al-Ghazali mengatakan : “Maka semoga syaitan tidak mengelilingi hatinya (hati manusia dan jin), lalu dapat ia memandang ke alam tinggi.”
Namun begitu, dengan menyedikitkan makanan sahaja belum memadai. Kata Al-Ghazali : “Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya.
Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, SEBELUM KOSONG CITA-CITANYA DARIPADA SELAIN ALLAH ‘AZZA WA JALLA.
Dan itulah urusan seluruhnya. Dan PANGKAL SEMUANYA ITU adalah dengan menyedikitkan makanan.”
Dengan tasawuf, Ramadhan anda akan lebih bererti lagi bermanfaat untuk dunia dan akhirat.
WaAllahua’lam.