Saturday, August 24, 2013

JIHAD ATAU RADIKALISMA?

Do you look like me? RADIKALISMA: AGENDA DEMONISASI UMAT ISLAM ADALAH BERSUMBER DARI MUSUH² IS... thumbnail 1 summary


Do you look like me?

RADIKALISMA: AGENDA DEMONISASI UMAT ISLAM ADALAH BERSUMBER DARI MUSUH² ISLAM YANG TERSEMBUNYI

ISLAM adalah agama berteraskan RAHMAH, bukan kebencian dan keganasan. Cermin dirimu dengan paparan wajah yang diberikan. Ruang nasihat untuk saudaraku. Saya menyediakan ruang ini khas untuk menasihati seorang saudara yang menghampiri saya kerana kelirunya beliau melihat kelakuan umat Islam kita sendiri di Malaysia yang semakin emosional dan bertelingkah sesama sendiri. Saya sendiri berasa amat malu melihat perbalahan² yang melampaui batas sehingga menggunakan bahasa² kesat di atas nama Islam.

Setiap kali kamu berbicara tentang Islam, ataupun kamu diuji dengan konflik-konflik yang menggugat agamamu, pastikan terlebih dahulu kamu cerminkan diri kamu dan melihat apakah wajah kamu seperti yang tertera dalam ruangan ini. Apabila kamu diuji dengan mereka-mereka yang menyerang kamu dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan atas nama Islam, tinggalkanlah perbalahan itu dan tinggalkanlah kemarahan kamu. Kemarahan dan pertelagahan itu dari Syaitan. Apabila kamu bertemu mereka yang sentiasa dirasuki kemarahan ini, tinggalkan mereka.

Tun Mahathir dalam wawancaranya yang terbaru menyatakan orang kita kurang emosional dan konflik yang terjadi di Syria dan Mesir tidak mungkin berlaku di negara kita. Dari sentimen² yang saya lihat sejak akhir² ini saya rasa Tun Mahathir agak tersasar dari realiti dan sekiranya faham radikalisma ini tidak ditangani segera, agama bangsa dan kita bakal diancam dengan konflik² yang bakal menggugat kestabilan negara.

Umat Islam yang semakin ganas sehingga melampaui batasan akhlaq dan risalah da'wah Rasulullah (صلی اللہ علیہ وسلم) yang penuh rahmah dan belas kasih sayang.

Pesanan dari Sheikh Hamza Yusuf untuk membantu kita mengelak jalan-jalan radikalisma:

"Saya berikan kamu satu qa'idah oleh Ibnul Qoyyim al Jauziyyah. Hanya satu qa'idah yang sangat mudah. Sekiranya kamu faham, kamu akan faham banyak.

Islam itu keseluruhannya Rahmah. Bila kamu melihat yang bertentangan dengannya (yaqni kekejaman), maka itu bukanlah Islam. Islam itu adalah Hikmah. Sebaik kamu melihatnya menjurus kepada kebodohan, ia bukanlah Islam. Islam itu adalah Adil. Bila kamu melihatnya menjurus kepada yang sebaliknya yaqni zhulum, kezaliman, ianya bukanlah Islam.

Fakhruddin ar Razi berkata saya boleh rumuskan Islam itu pada hanya dua perkara. 'Ibadah pada Kholiq Pencipta yaqni ALLAH SWT dan rahmah kasihsayang keatas ciptaanNYA (makhluq)." - Sheikh Hamza Yusuf

Kegilaan apakah yang telah merasuki umat Islam mutakhir ini? Apabila seseorang menyalahi pendapat mereka, maka di atas nama Islam, kemararahan mereka membuak-buak seolah-olah dirasuk setan.

Kita melihat perkara ini di mana-mana. Mereka memaki hamun orang tanpa segan silu sehingga hilang sopan-santun keMelayuan mereka, apatah lagi akhlaq mereka sebagai orang Islam. Mereka mencaci-cela para 'Ulama yang bersalahan pendapat dengan mereka seolah-olah perbendaharaan makrifatulLah itu milik haqiqi mereka.

Mereka sewenang-wenangnya menghukum orang sebagai kafir, syiah dan munafik semata-mata kerana perbezaan pendapat. Mereka melaknat saudara-saudara mereka, mereka mendoakan bala' sebaik sahaja mereka dapati saudara mereka menyampaikan sesuatu yang tidak mereka persetujui.

Faham radikalisma ini bukan sahaja menghantui mereka yang dikatakan dalam kelompok pembangkang kerajaan, malah mereka yang di dalam kelompok penyokong kerajaan juga sangat gemar mencaci-cela sesama sendiri dalam apa sahaja konflik yang mendatang keatas mereka.

Demikianlah hebatnya ujian yang bakal mendatang. Mereka berjaya menyatukan antara penyokong kerajaan dengan pembangkang, menyatukan pada masa yang sama memecahbelahkan umat Islam yang berselisihan pandangan. Mereka bersatu pada jalan RADIKALISMA dan mereka akhirnya akan berbunuhan sesama mereka semata-mata kerana perbezaan pandangan itu... Cerminlah wajah kita sebelum terlambat saudara-saudari seIslamku.

Sebaik sahaja dilanda konflik, maka mereka akan bergegas-gegas turun ke jalanraya dan atas nama jihad dan Islam maka mereka akan menunjukkan wajah-wajah keras mereka, melaungkan slogan ke sana ke sini. Dari manakah datangnya semua ini?

Apakah RasuluLlah (صلی اللہ علیہ وسلم) dan para Sohabah (رضي الله عنها) mengajar kita terlompat-lompat melayan amarah yang melata?

Saya menasihatkan saudara saya janganlah kamu mengikut jejak orang² yang berlebih-lebihan dalam tafsiran Islam mereka sehingga kamu menjadi bahan sasaran musuh-musuh Islam yang menjadi punca agentur provokatur dunia Islam hari ini.

Saya mengingatkan kamu dan diri saya sendiri tentang pesanan dari Sheikh 'Ali al Jumu'ah:

"Mereka ini menyeru manusia dengan paksa supaya mengikut pendapat mereka seolah-olah wahyu telah turun kepada mereka. Maka inilah sifat takabbur mereka dalam keadaan tidak sedar.

Sehingga menghukumkan dengan kafir, bida'ah, serta fasiq terhadap manusia yang tidak menyertai mereka tanpa mereka sedar atau berhati-hati.'

Dan inilah menjadikan kita menentangi mereka yang mutasyaddid dan melampau pada pendapat agama.

Sebagaimana mereka ini telah disifatkan oleh Nabi SAW dengan gelarannya KHAWARIJ.

Dan sabda Nabi SAW: "Khawarij itu anjing neraka."

Kerana mereka telah menyempitkan pandangan agama yang luas dan mereka mengubah agama ALLAH. Kerana mereka mencemarkan gambaran Islam di hadapan manusia dengan menggunakan perjuangan atas nama Islam." - Sheikh 'Ali al Jumu'ah

Saya menyampaikan pesanan oleh para masyaikh yang bersederhana dan menelusuri cahaya nubuwwah dengan sebenar-benarnya supaya halusi zaman Jahiliyyah dan pengertian Jahiliyyah berhubungkait istilah reaksionari (reactionary) yang sebenarnya menghantui umat Islam umumnya dan bangsa Melayu khususnya. Jahil itu bukan sahaja membawa makna bodoh atau tidak berilmu. Malah di zaman jahiliyyah itu sendiri, mereka memahami makna jahiliyya itu adalah sebagai suatu tindakbalas kemarahan yang melata sehingga menghilangkan kewarasan samasekali.

Ketahuilah, musuh-musuh Islam sengaja memerangkap kita dalam agenda "Problem-Reaction-Solution" ciptaan mereka dan dilaksanakan melalui agen-agen provokatur mereka.

Mereka mencipta masalah-masalah untuk menimbulkan reaksi yang sudah mereka jangkakan dari umat Islam, maka mereka susun "penyelesaian-penyelesaian" yang telah mereka rangka terlebih dahulu sebagai "membantu kearah penyelesaian". Namun ia hanyalah ilusi-ilusi penyelesaian sedangkan hari demi hari, tahun demi tahun, dekad demi dekad umat Islam semakin jauh dan semakin tersisih dari bantuan ALLAH.

Tanpa disedari hari ini kita semakin terjebak kedalam jerangkap faham "reaksioner" yang menjadikan umat Melayu Islam sendiri sering terjebak dalam mentaliti bertindakbalas yang menghilangkan kewarasan, kehurmatan serta akhlaq mulia oleh rentetan provokasi terancang oleh agentur-agentur provokasi.

Semakin hari kita semakin tenggelam bila hanya mampu kekal berada dalam mode bertindakbalas menurut rentak serangan keatas bangsa kita dan akan sampai satu ketika tindakbalas umat Melayu Islam yang semakin agresif ini akan membawa padah kepada bangsa kita sendiri sekiranya kita tidak segera bermuhasabah dan menyedari bahawa provokasi-provokasi ini adalah sebenarnya terancang.

Umat Melayu Islam harus bertindak bijak dengan mengubah strategi dan taktik dalam mengharungi siri provokasi ini dan saya rasa saudara-saudari faham provokasi yang macam mana saya maksudkan.

Fikirkan secara mendalam dan awasi perangkap samar yang sedang disasarkan pada kita dan bermuhasabah lah sebelum terlambat.

"Berfikir tanpa kotak"

Ar Ra'isul Mutakallim, Tabligh Ki Zabaan (Lidah Tabligh) Hadrat Maulana Umar Palanpuri Rahmatullahu 'alaihi berkata: "Orang yang kuat adalah orang yang sanggup bertahan dalam arus kerosakan. Orang yang lebih kuat adalah orang yang sanggup melawan arus kerosakan. Namun orang yang paling kuat adalah orang yang sanggup merubah arah arus kerosakan hingga menjadi akannya arus kebaikan.”

“Dajjal bersama tenteranya mempunyai kekuatan yang amat istimewa dan amat tersusun. Begitu juga Yakjuj dan Makjuj membuat huru-hara di seluruh dunia. Kehebatan mereka tiada siapa yang dapat melawan dan orang beriman berundur dengan hanya makan zikir dan tasbih."

"Allah zahirkan kudratnya hanya dengan labah-labah yang kecil dijadikan asbab untuk menggigit tengkuk-tengkuk mereka hingga mati. Mayat mereka begitu busuk diseluruh dunia. Orang beriman tidak tahan terus berdoa pada Allah. Allah ta'ala hantarkan hujan dan banjir menghanyutkan mereka ke laut. Inilah yang akan berlaku di akhir zaman nanti."

"Amalan dakwah memisahkan hak dan batil seperti air menghanyutkan sampah dari emas dan logam-logam yang lain. Namun pekerja² agama jika wujud cinta dunia dalam hati mereka seperti emas dan disaluti logam-logam lain, maka banyak masalah yang akan timbul.”