JADIKAN TRAGEDI AMBON SEBAGAI PENGAJARAN
Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA January 14, 2010 Puncanya mudah saja. Hampir 10 tahun lalu, atau lebih tepatnya pada 19 Januari 1999, seorang lel... 7:20:00 PMJanuary 14, 2010
Puncanya mudah saja. Hampir 10 tahun lalu, atau lebih tepatnya pada 19 Januari 1999, seorang lelaki yang sedang menunggang basikal, telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas. Penunggang basikal itu cedera akibat daripada kemalangan tersebut.
Bagaimanapun, berita tentang kemalangan tadi begitu cepat merebak kerana kebetulan penunggang basikal itu seorang Muslim, manakala pemandu bas pula seorang Kristian.
Berita itu kemudiannya disebarkan bersama fitnah, adu domba serta dendam kesumat, hingga ke seluruh pulau di Maluku. Akibatnya, mulai hari berlakunya kemalangan tadi, Ambon kemudiannya bermandi darah. Dan pada Februari 2002 – iaitu empat tahun kemudian – apabila perdamaian secara rasmi dimeterai oleh kerajaan Indonesia dan pihak-pihak yang bertelagah, dilaporkan lebih 5,000 nyawa terkorban, puluhan ribu cedera manakala 750,000 orang lagi lari meninggalkan ibu kota kepulauan Maluku itu.
Selain itu, beratus-ratus rumah ibadat, terutamanya masjid dan gereja dimusnahkan dan dibakar. Antaranya, termasuklah yang dibakar bersama-sama penduduk yang berlindung nyawa di dalamnya! Carilah fakta-fakta tentang tragedi ini, anda akan menemui pelbagai kejadian mengerikan. Penulis tidak mahu mencatatkannya kerana bukan tujuan tulisan ini untuk membangkitkan kemarahan mana-mana pihak.