Monday, June 17, 2013

TPPA: Orde (ekonomik) baru dunia yang mesti ditolak

Mohd Rizal Jaapar 22 Mei 2013 Baru-baru ini Presiden Amerika Barack Obama menelefon Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mengucap... thumbnail 1 summary

Mohd Rizal Jaapar
22 Mei 2013


Baru-baru ini Presiden Amerika Barack Obama menelefon Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mengucapkan tahniah di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi penggal kedua. Dicelah-celah perbualan sempat juga Obama mengingatkan Malaysia untuk percepatkan pemeteraian Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA).

Mengapa Obama begitu beria-ia bertanya tentang TPPA? Untuk menjawab soalan ini kita harus sedar yang tanggungjawab sebenar Obama ialah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS). Beliau wajib memimpin dan perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat Amerika mengatasi segala yang lain.

Untuk itu AS sebagai negara termaju dari aspek politik, ketenteraan, teknologi, ekonomi dan media tidak pernah berhenti menggembleng usaha memastikan mereka terus berkuasa di pentas dunia.

Pada masa sama AS juga telah lama menguasai dunia kewangan semenjak mata wang dolar tidak lagi disandarkan kepada nilai komoditi seperti emas dan perak, tetapi kepada spekulasi pasaran. Strategi yang hanya mahu memperkukuhkan kuasa AS, kini memakan diri apabila nilai mata wang dolar jatuh merudum.

Inflasi sebabkan warga AS resah, syarikat multinasional paling terseksa apabila terpaksa menjual pada harga lebih rendah, sedangkan kos pengeluaran meningkat. Syarikat-syarikat ini cuba berhijrah ke negara membangun seperti China, India, Mexico dan Malaysia untuk mengurangkan kos, tetapi berdepan banyak halangan apabila negara-negara ini meletakkan pelbagai syarat demi melindungi kepentingan Peribumi.

Perjanjian-perjanjian perdagangan sedia ada perlu dirombak agar lebih mesra kepada Amerika dan mampu mengekang kemaraan China. Lalu pada tahun 2006, terciptalah satu lagi ‘senjata’ yang digelar AS sebagai ‘perjanjian perdagangan alaf baru yang paling canggih’. Bermula kononnya daripada perbincangan sampingan empat negara, TPPA hari ini sudah dianggotai 12 negara, termasuk Malaysia.

Tidak seperti perjanjian-perjanjian lain yang dibuat secara terbuka, TPPA berunding dalam suasana penuh rahsia. Difahamkan ketika ini sedang berlangsung rundingan TPPA yang ke-17 di Lima, Peru, dan jika tiada ‘aral’ maka dijangkakan cuma tinggal satu atau dua sahaja baki rundingan sebelum TPPA termeterai dengan rasminya pada September nanti.

Rakyat Malaysia majoritinya tidak tahu langsung apa itu TPPA (mereka lebih faham Gangnam-style), namun jika diteliti sifatnya maka TPPA adalah orde baru dunia yang telah dikemas kini agar lebih ‘efisien’ dan ‘kebal’.

Jika WTO dan FTA tiada kuasa perundangan untuk memaksa ahlinya berdagang mengikut terma Amerika; TPPA sebaliknya akan merombak akta-akta perdagangan dan pelaburan setiap negara anggota agar menjadi lebih ‘bebas’ dan pro-pasaran.

Ya, memang ini kelihatan baik untuk Malaysia, tetapi hakikatnya dunia perdagangan bebas ala Amerika amat bencikan perkataan seperti keistimewaan untuk warganegara, kuota Bumiputera, sekatan untuk berdagang, subsidi, tender terpilih dan sebagainya.

Jika TPPA terlaksana, maka agenda transformasi pasti terencat dan program-program pembangunan vendor pula akan menghilangkan terus apa-apa keistimewaan yang bukan wajib, tetapi masih diperlukan usahawan tempatan untuk belajar bersaing.

TPPA bakal memberi kuasa yang tidak terbatas kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Australia untuk menghalalkan pencerobohan ekonomi ke atas negara-negara kecil.

Jika ‘pre-emptive military attack’ boleh dijadikan motif untuk menyerang negara yang kononnya menyokong keganasan, dan melindungi bumi Amerika yang realitinya tidak bersentuh pun; maka TPPA adalah 'pre-emptive judicial attack', konon untuk mempertahan perdagangan bebas dan melindungi ekonomi negara-negara maju yang kita tidak pernah pun berjaya tembusi semenjak sekian lama.

TPPA bukan perjanjian perdagangan bebas tetapi lebih merupakan penjajahan alaf baru yang amat membinasakan. TPPA adalah isu kedaulatan yang mahu diceroboh dan dipijak-pijak. Kita mesti mendesak kerajaan untuk keluar daripada TPPA. Wakil-wakil rakyat harus bersatu suara menolak TPPA kerana itulah fungsinya mandat diberikan rakyat kepada mereka.

* Penulis ialah Sekutu Kanan di Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersekutu Berhad (MTEM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau, bukan kenyataan rasmi MTEM.

No comments

Post a Comment

"Berfikir tanpa kotak"

Ar Ra'isul Mutakallim, Tabligh Ki Zabaan (Lidah Tabligh) Hadrat Maulana Umar Palanpuri Rahmatullahu 'alaihi berkata: "Orang yang kuat adalah orang yang sanggup bertahan dalam arus kerosakan. Orang yang lebih kuat adalah orang yang sanggup melawan arus kerosakan. Namun orang yang paling kuat adalah orang yang sanggup merubah arah arus kerosakan hingga menjadi akannya arus kebaikan.”

“Dajjal bersama tenteranya mempunyai kekuatan yang amat istimewa dan amat tersusun. Begitu juga Yakjuj dan Makjuj membuat huru-hara di seluruh dunia. Kehebatan mereka tiada siapa yang dapat melawan dan orang beriman berundur dengan hanya makan zikir dan tasbih."

"Allah zahirkan kudratnya hanya dengan labah-labah yang kecil dijadikan asbab untuk menggigit tengkuk-tengkuk mereka hingga mati. Mayat mereka begitu busuk diseluruh dunia. Orang beriman tidak tahan terus berdoa pada Allah. Allah ta'ala hantarkan hujan dan banjir menghanyutkan mereka ke laut. Inilah yang akan berlaku di akhir zaman nanti."

"Amalan dakwah memisahkan hak dan batil seperti air menghanyutkan sampah dari emas dan logam-logam yang lain. Namun pekerja² agama jika wujud cinta dunia dalam hati mereka seperti emas dan disaluti logam-logam lain, maka banyak masalah yang akan timbul.”