Wednesday, October 5, 2016

Masa Depan Malaysia Dalam Krisis Laut Cina Selatan

Sesuatu yang sudah lama diperkatakan , dan semakin hampir menjadi kenyataan.. Ketika ramai rakyat Malaysia menyangka bahawa lanskap po... thumbnail 1 summary
Sesuatu yang sudah lama diperkatakan, dan semakin hampir menjadi kenyataan..
Ketika ramai rakyat Malaysia menyangka bahawa lanskap politik nasional sudah cukup ganas berkocak tatkala ini, rupa-rupanya di ‘belakang rumah’ mereka ada ribut dan badai yang lebih dahsyat, yang hanya menanti masa untuk datang menderu.

Kemelut politik di Malaysia di antara Dato’ Seri Najib dan penyokongnya serta Tun Dr Mahathir dan penyokongnya telah mencuri perhatian segenap lapisan rakyat Malaysia semenjak hujung tahun lepas lagi. Tanpa kita sedari, krisis pertikaian antara pelbagai negara termasuklah Malaysia sendiri di Laut Cina Selatan semakin rancak berlaku, dan mula menunjukkan pelbagai perkembangan yang sepatutnya menggusarkan kita.


Aktiviti Ketenteraan Meningkat

Hari demi hari berlalu, tiada tanda bahawa ketegangan perseteruan antara US dan China dalam membina pengaruh mereka di kawasan Laut Cina Selatan akan mereda. Malah dalam perkembangan terkini, pergerakan kedua-dua belah pihak kelihatan semakin agresif dalam menunjukkan taring ketenteraan mereka.

US giat mengarahkan kapal-kapal tentera mereka masuk ke perairan Laut Cina Selatan, selain mula meletakkan jet-jet pengebom strategik (strategic bombers) di pengkalan di Australia. China yang sudahpun membina pengkalan tentera di kepulauan Paracel sejak beberapa tahun lepas, mengejutkan ramai pihak apabila mereka dilaporkan sudahpun menghantar ‘HQ-9 anti-air missiles’ di kepulauan tersebut.

Meskipun kedua-dua kuasa besar tersebut memberi kenyataan bahawa aktiviti ketenteraan bukanlah pilihan mereka dalam isu pertikaian di Laut Cina Selatan, pergerakan yang sedang berlaku kelihatan sebaliknya.

Bolehkah Perang Meletus?

Di dalam sebuah penerbitan CFR (Council on Foreign Relations) berkenaan pertembungan antara US dan China di Laut China Selatan, pertembungan secara bersenjata atau secara ketenteraan disebut sebagai sebuah situasi yang tinggi kemungkinannya untuk berlaku.

Menurut penerbitan tersebut, berdasarkan situasi sedia ada, terdapat sekurang-kurangnya tiga pertembungan bersenjata yang mungkin berlaku.

Pertembungan yang pertama, iaitu yang paling tinggi kemungkinan untuk berlaku dan juga yang paling merbahaya jika tercetus ialah di antara US dengan China sendiri. Berdasarkan perkembangan sekarang, sebarang kesilapan kecil atau salah faham di peringkat politik boleh menjadi punca untuk pertembungan ini meletus. Krisis politik yang besar boleh terhasil dan seluruh rantau ini akan menerima implikasi secara ketenteraan.

Yang kedua ialah di antara China dengan Filipina. Filipina yang juga merupakan pengkalan besar US di Asia Tenggara dilaporkan ingin meneroka sumber gas asli di kawasan Reed Bank, tidak jauh dari Palawan. Jika Filipina berkeras untuk meneruskan usaha penggalian ini tidak mustahil China akan memberikan respon balas yang agresif. Manakala yang ketiga ialah di antara China dengan Vietnam. 

Vietnam juga dilaporkan turut berhasrat menggali minyak di perairan Laut Cina Selatan, khususnya di kawasan yang sedang dipertikaikan. Jika China memberi amaran kepada Vietnam dan amaran ini tidak dihiraukan, kemungkinan besar akan berlaku serangan ke atas Vietnam oleh China.

Implikasi Kepada Malaysia

Malaysia tidak terlepas daripada menerima provokasi dan tekanan daripada kedua-dua belah pihak, khususnya China yang semenjak beberapa tahun lepas mengambil pendekatan yang lebih ‘physically provocative’ dalam isu di Laut Cina Selatan. Terkini, 100 bot yang berdaftar dengan China dikesan berada di kawasan perairan Malaysia yang terlibat dalam pertikaian hak di Laut China Selatan.

Memandangkan Malaysia turut merupakan salah sebuah negara utama yang terlibat secara langsung dalam mempertahankan hak ke atas sebahagian kawasan di Laut Cina Selatan, sebarang konflik dan krisis ketenteraan yang berlaku akan turut membabitkan Malaysia samada Malaysia sudah bersedia atau tidak.

Terdapat pengulas yang menyebut bahawa tidak mustahil negara-negara yang terbabit di rantau ini menerima implikasi seperti yang diterima oleh negara-negara di Timur Tengah, seperti Syria khususnya, yang telah berubah menjadi medan pertempuran oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Jika melihat kembali kepada sejarah, Vietnam pernah menerima implikasi yang sama di era 60-an apabila ia menjadi medan pertempuran kuasa US dan kuasa Soviet.

Implikasi utama yang boleh diramalkan ialah penghakisan kedaulatan rakyat dan kerajaan di negara-negara yang terbabit. Jika di Malaysia, secara khusus bangsa Melayu-Islam adalah kelompok yang paling banyak akan menerima impak kerana secara sosio-sejarah bangsa ini tidak pernah memberikan kesetiaan selain daripada tanah air mereka sendiri. Berbeza dengan rakyat berbangsa lain yang memiliki sejarah kesetiaan kepada kuasa di tanah air mereka seperti bangsa Cina misalnya. Bahkan sehingga kini jika diteliti dalam lanskap politik negara, terdapat parti-parti politik yang terang-terangan lebih menjayakan agenda kuasa besar seperti US dan China berbanding menjayakan pembinaan negara dan integrasi nasional yang berkesan.

Oleh kerana itu, negara kita juga mungkin akan menyaksikan timbulnya pertembungan dan perpecahan antara rakyat yang akhirnya akan membuka laluan kepada kuasa luar campur tangan dalam melakar rupa bentuk baru kepada negara dan menyusun cengkaman baru ke atas negara, khususnya dalam bentuk penguasaan hasil bumi (seperti minyak dan gas asli) serta penguasaan politik dan ekonomi.

Diplomasi Sebagai Jalan Keluar?

Kebarangkalian untuk Malaysia menjadi medan pertempuran jika meletusnya pertempuran di Laut Cina Selatan adalah amat tinggi memandangkan kedudukan Malaysia serta sempadan perairannya yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara.

Tambahan pula, krisis politik dalaman sedia ada di Malaysia yang melibatkan ahli politik dan parti politik yang mewakili kehendak-kehendak kuasa besar US dan China, serta keterikatan Malaysia kepada perjanjian seperti TPPA, sebenarnya telah meletakkan Malaysia di dalam keadaan yang amat ‘fragile’ dan ‘vulnerable’ kepada sebarang cetusan api pertembungan ketenteraan di Laut Cina Selatan.

Dato’ Seri Najib cuba mempamerkan sikap optimis dalam ucapannya di Sunnyland, US, pada Februari yang lalu apabila beliau menasihatkan semua pihak dalam krisis Laut Cina Selatan untuk bertenang dan mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh menambah ketegangan. Begitu juga kenyataan Datuk Seri Hishamuddin yang meminta semua pihak untuk mematuhi deklarasi mengenai tatalaku (DoC) pihak-pihak di Laut Cina Selatan.

Jelas sekali ini adalah sekadar kenyataan politik yang agak jauh daripada menyentuh krisis sebenar yang sedang memuncak di Laut Cina Selatan, apatah lagi menggariskan langkah-langkah yang lebih kukuh dan tegas dalam memastikan kedaulatan negara tidak terancam sekiranya pertembungan ketenteraan meletus kelak.

Dalam keadaan ‘terikat tangan’ dengan perjanjian TPPA yang dikemukakan oleh US, serta kemasukan pelaburan skala besar yang bertali-arus daripada China, ditambah lagi dengan kucar-kacir politik yang melibatkan salahlaku ramai pemimpin negara, adakah mungkin negara ini mampu merayu dan berdiplomasi agar kuasa-kuasa besar tunduk dan patuh dengan peraturan dan undang-undang yang tidak menguntungkan kuasa-kuasa besar tersebut? Adakah negara ini mampu mempertahankan kedaulatannya daripada dirobek oleh kuasa-kuasa besar tersebut yang inginkan penguasaan ke atas hasil bumi yang kaya di negara ini dan di rantau ini?

Dalam situasi sekarang, jawapan kepada persoalan tersebut amat-amat merisaukan.

Oleh: Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim (Chief Operating Officer IRIS Institute) - April 1, 2016

No comments

Post a Comment

"Berfikir tanpa kotak"

Ar Ra'isul Mutakallim, Tabligh Ki Zabaan (Lidah Tabligh) Hadrat Maulana Umar Palanpuri Rahmatullahu 'alaihi berkata: "Orang yang kuat adalah orang yang sanggup bertahan dalam arus kerosakan. Orang yang lebih kuat adalah orang yang sanggup melawan arus kerosakan. Namun orang yang paling kuat adalah orang yang sanggup merubah arah arus kerosakan hingga menjadi akannya arus kebaikan.”

“Dajjal bersama tenteranya mempunyai kekuatan yang amat istimewa dan amat tersusun. Begitu juga Yakjuj dan Makjuj membuat huru-hara di seluruh dunia. Kehebatan mereka tiada siapa yang dapat melawan dan orang beriman berundur dengan hanya makan zikir dan tasbih."

"Allah zahirkan kudratnya hanya dengan labah-labah yang kecil dijadikan asbab untuk menggigit tengkuk-tengkuk mereka hingga mati. Mayat mereka begitu busuk diseluruh dunia. Orang beriman tidak tahan terus berdoa pada Allah. Allah ta'ala hantarkan hujan dan banjir menghanyutkan mereka ke laut. Inilah yang akan berlaku di akhir zaman nanti."

"Amalan dakwah memisahkan hak dan batil seperti air menghanyutkan sampah dari emas dan logam-logam yang lain. Namun pekerja² agama jika wujud cinta dunia dalam hati mereka seperti emas dan disaluti logam-logam lain, maka banyak masalah yang akan timbul.”