Wednesday, November 5, 2014

SIS SURI KEMPE - BILA KEJAHILAN BERSUARA

"Inilah hasilnya apabila wajah kejahilan diberi suara, ia hanya mampu memperbodohkan dirinya sendiri. Sayyidatina 'Aisyah pun di... thumbnail 1 summary
"Inilah hasilnya apabila wajah kejahilan diberi suara, ia hanya mampu memperbodohkan dirinya sendiri. Sayyidatina 'Aisyah pun di"Radhiallahu 'anhu"kan oleh beliau, menunjukkan kejahilan yang melata dalam SIS yang tidak mampu hatta membezakan jantina sekalipun apatah lagi bercakap mengenai ISLAM." - AL FAEDAH
 
SIS Suri Kempe - Bila kejahilan diberi suara from Al Faedah on Vimeo.

Membetulkan kesilapan fakta agama
Projek Dialog dan SIS

Wanita ISMA ingin menarik perhatian beberapa kesilapan dan salah faham yang ditimbulkan oleh pihak Sisters in Islam (SIS) dalam satu video kerjasama di antara Projek Dialog dan SIS bertajuk ISLAM DAN FEMINISME.

Wanita ISMA kesal kerana pihak Projek Dialog telah menyebarkan video dalam hal Islam dan wanita Islam tanpa merujuk kepada pihak yang lebih arif atau sekurang-kurangnya memeriksanya (counter check) dengan sumber yang lebih jitu.

Ada dua kesalahan yang ingin diperbetulkan:

1. Kesilapan Tafsir Surah Mujadalah

Di dalam video ini Suri Kempe dari SIS cuba menerangkan hak-hak wanita di dalam Islam dan telah merujuk kepada surah al-Mujaadalah yang dikatakan diturunkan kerana Hindun mengadu perihal Abu Sufyan suaminya yang kedekut lantaran tidak memberi nafkah kepadanya dan anak-anaknya.

Ini adalah fakta yang salah kerana surah Mujadalah diturunkan apabila Khaulah binti Tha’labah datang mengadu kepada Rasulullah perihal suaminya yang telah menziharkannya sedangkan beliau telah menghabiskan seluruh hayatnya untuk suami dan melahirkan anak-anaknya. Surah ini menunjukkan wanita mempunyai hak bersuara supaya dapat memastikan haknya tidak dicerobohi sesuka hati dari pihak suami.

Tafsiran ini terdapat di dalam kitab Tafsir Ibn Kathir, Tafsir Fi Zilalil Quran bahkan di dalam nota kaki Al-Quran terjemahan biasa. Bagaimana pihak SIS boleh tersilap dalam menyampaikan periwayatan “asababun nuzul” atau sebab-sebab diturunkan sesuatu ayat? Sedangkan dewasa ini terlalu banyak bahan terjemahan yang mudah didapati.

Adapun kisah Hindun diriwayatkan melalui sebuah hadis yang menceritakan bagaimana beliau (Hindun) mengadu kepada Rasulullah SAW tentang Abu Sufyan yang kedekut (tidak memberi belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya). Rasulullah SAW berkata kepada Hindun; “Kamu ambillah daripada hartanya kadar yang mencukupi untuk kamu dan anak kamu mengikut kebiasaannya.”

Bagaimana mungkin Projek Dialog dan SIS dijadikan rujukan sedangkan mereka tidak langsung teliti dalam memetik sesuatu fakta dari sumbernya yang betul, apatah lagi dalam hal sepenting nas-nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW agar tidak bercampur aduk?

Sesuatu yang begitu mudah disemak dan diberi penelitian.

2. Membangkit keraguan mengenai kethiqahan perawi hadis

Pertamanya, Suri Kempe dari SIS mengatakan bahawa Saidatina Aisyah r.a telah memperbetulkan Abu Hurairah r.a dalam tradisi yang berkonflik dengan al Quran. Dengan kenyataan bersahaja begitu, tanpa memberi contoh dan menghuraikan, juga tanpa merujuk kepada disiplin Ilmu Ulum hadis yang benar, pihak SIS telah menanam satu bentuk keraguan kepada perawi hadis yang thiqah (dipercayai dan diperakui).

Sebelum itu, marilah kita mengenali siapakah Abu Hurairah r.a. Abu Hurairah r.a ialah salah seorang perawi hadis yang terkemuka. Beliau dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Beliau begitu rapat dengan Nabi s.a.w sehingga baginda selalu menyuruhnya mengumpulkan ahli suffah jika ada makanan yang hendak dibahagikan. Hadis beliau yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim berjumlah 325 hadis, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadis dan oleh Muslim 189 hadis. Hadis yang diriwayatkan oleh beliau juga terdapat dalam kitab-kitab hadis lainnya.

Keraguan ke atas perawi hadis lelaki ini dipelopori oleh Fatimah Mernissi seorang tokoh feminis, novelis dan ahli sosiologi dari Morocco. Beliau mengkritik hadis-hadis yang dikatakan bersifat misogyny (membenci wanita) dan merumuskan bahawa Abu Hurairah r.a meriwayatkan hadis yang bersifat mendiskriminasikan wanita.

Golongan SIS ini, selain daripada memperjuangkan agenda yang sama iaitu kesetaraan gender atau pengembalian hak asasi wanita, SIS turut terpengaruh dengan pemikiran Mernissi melalui pengambilan karya-karya tulisan Mernissi yang dijadikan sebagai sumber rujukan dan bahan bacaan mereka.

Hadis yang dipertikai

Dalam hal yang dinyatakan oleh Suri Kempe, terdapat satu hadis yang dijadikan perdebatan oleh Mernissi dan golongan feminis:

Ishaq ibn Ibrahim telah berkata kepada kami, al-Makhzumi telah memberitahu kami, Abd al-Wahid iaitu ibn Ziyad telah berkata kepada kami, Ubaydillah ibn Abdullah ibn al-Asam telah berkata kepada kami, Yazid telah berkata kepada kami dari Abu Hurayrah bahawasanya berkata: Rasulullah S.A.W.telah bersabda,”Solat itu terputus oleh wanita, keldai, dan anjing, dan dan perkara yang mengelakkan pemutusan itu ialah sutrah (penghadang) seumpama hujung pelana.”

Dari segi sanad, kesahihan hadis ini tidak ada keraguan kerana para perawi hadis di atas merupakan kalangan perawi hadis yang thiqah dan diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Selain al-Imam Muslim turut mengeluarkan hadis ini al-Imam Abu Dawud melalui jalur riwayat Ibn Abbas, al-Tirmidhi melalui Abu Dhar, Ibn Majah melalui Abdullah ibn al-Mughaffal, Ibn Abi Shaybah. al-Shaykh al-Albani turut memasukkan riwayat ini dalam kitabnya Silsilah al- Hadith al-Sahihah.

Mereka mengatakan bahawa hadis Abu Hurairah r.a ini bertentangan dengan hadis Aisyah r.a. di bawah;

Daripada Urwah bin Zubayr telah meriwayatkan Aishah berkata: “Apa saja yang dapat memutuskan solat seseorang?”Kami menjawab, “Perempuan dan keldai.”Aishah berkata,”Jadi, kalau begitu, perempuan adalah binatang buruk. Tahukah kalian bahawa aku pernah berbaring melintang di hadapan Rasulullah S.A.W. seperti melintangnya jenazah dan baginda S.A.W. sedang menunaikan solat?” Hadis bertaraf sahih dan diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitab al-Solah bernombor 511.

Golongan feminis mengatakan bahawa Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan sebuah hadis yang merendah-rendahkan kaum wanita di mana wanita seolah-olahnya sangat buruk hingga menyebabkan batalnya solat seseorang. Mereka juga mengatakan bahawa Saiditina Aisyah r.a telah menyanggah riwayat Abu Hurairah r.a dengan menyatakan bahawa wanita bukanlah penyebab batalnya solat. Pada mereka, riwayat Aisyah r.a ini menguatkan lagi tuduhan mereka bahawa Abu Hurairah r.a dengan sengaja telah meriwayatkan hadis yang mendiskriminasikan wanita.

Benarkan demikian? Tentu sekali tidak.

Jawapan terhadap syubhat serta tuduhan tersebut begini;

1) Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah itu adalah bertaraf hadis Sahih di mana ia diriwayatkan oleh Muslim. Bagaimana mungkin mereka menuduh Abu Hurairah sedemikian sedangkan Abu Hurairah adalah sahabat Nabi yang paling kuat hafalan hadis-hadisnya dan jumhur ulama bersepakat akan kethiqahan dan ‘adilnya Abu Hurairah ini.

Tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadap Abu Hurairah hakikatnya adalah tuduhan terhadap sunnah nabi yang sahih itu sendiri. Mereka menuduh dengan tuduhan yang pelbagai terhadap Abu Hurairah yang akan membawa kepada kesangsian umat Islam terhadap Abu Hurairah sebagai seorang perawi hadis yang banyak meriwayatkan hadis-hadis baginda s.a.w dan akhirnya boleh menimbulkan kesangsian terhadap hadis yang merupakan sumber Islam yang kedua ini.

2) Hakikatnya kedua-dua hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a dan Aisyah r.a ini tidak bertentangan langsung. Para ulama telah menggabungkan kedua-dua hadis tersebut dan mencari titik pertemuan. Di dalam istilah ulum al hadis disebut sebagai ‘al-jam’u’. Dalam kaedah ilmu ulum al-hadis, apabila ada dua hadis sahih yang bertentangan maksudnya, maka kaedah yang pertama ialah perlu dicari titik pertemuan antara hadis. Tidak sesekali dalam hal ini, Aisyah r.a merendah-rendahkan sahabat beliau dari kalangan lelaki.

Hadis Abu Hurairah r.a turut disokong dan diriwayatkan juga oleh Abu Dzar r.a dengan lafaz; “Terputus(Terganggu) solat dengan lintasan keldai, anjing dan wanita.” Maka hakikatnya kedua-dua hadis dari Abu Hurairah r.a dan Aisyah r.a membawa dua perkara dan hukum yang berbeza di mana hadis Abu Hurairah dan Abu Dzar r.anhuma memaksudkan “lintasan” sedang hadis Saidatina Aisyah r.a pula menyatakan dalam keadaan diam iaitu “berbaring”. “Melintas” adalah berbeza dengan “berbaring dan duduk diam”. Kerana itu Ibnu Hajar ketika mensyarahkan hadis ini dalam kitabnya Fathul Bari ada menyebut bahawa kita adalah dilarang melintas akan tetapi tidak mengapa jika duduk diam di hadapan orang yang solat. Wallahu a’lam

3) Jumhur ulama juga bersepakat bahawa yang dimaksudkan dengan ‘terputus’ solat yang disebut di dalam hadis adalah kurangnya nilai salat kerana hati diganggu dengan hal-hal tersebut dan bukannya bermaksud terbatal solat.

Sebagaimana disebutkan di dalam kitab Al-Deebaj syarah Shahih Muslim oleh Imam As-Suyuthi: Berkata jumhur ulama bahawa tidak batal solat dengan lalunya wanita, anjing dan keldai. Yang dimaksudkan dengan terputus (terbatal) solat di sini adalah terputus ke khusu’kan di dalam solat kerana tumpuan ketika solat tergangu dengan lalunya wanita, anjing dan keldai.

4) Apabila Abu Hurairah menyebut di dalam hadisnya “wanita, keldai dan anjing” bukanlah ia bermaksud wanita sama taraf dengan anjing dan keldai. Akan tetapi apa yang ingin dinyatakan di situ ialah sama dari sudut hukum iaitu “terputus solat” ataupun “terganggu kekhusyukan solat”. Maka hadis ini tiada kena mengena langsung dengan maksud merendah-rendahkan kaum wanita.

Serahkan kepada yang ‘arif

Kita sering mendengar golongan feminis mempertikaikan hadis dan perawinya semata-mata mereka lelaki. Walhal disiplin pengumpulan hadis telah dibuktikan antara disiplin yang tinggi nilainya dan sangat bersistematik. Imam Bukhari misalnya telah mengumpulkan 600,000 hadis selama 16 tahun, menggunapakai kriteria yang ketat menapis hadis-hadis yang dikumpulnya seperti kejujuran setiap perawi dalam rangkaian sanad, akhirnya hanya 7,275 buah hadis sahaja yang didokumentasikan di dalam kitab hadis beliau. Begitu teliti. Sedangkan Projek Dialog dan SIS tidak mampu berbuat demikian untuk video yang durasinya tidak sampai 3 minit.

Sehubungan dengan itu, wanita ISMA menyeru agar pihak Projek Dialog dan SIS tidak mengelirukan masyarakat dengan fakta yang salah dan tidak cermat. Selayaknya ilmu bagi sesuatu perkara diserahkan kepada mereka yang lebih arif dan mempunyai kredibiliti bagi memperkatakannya, sebagaimana urusan-urusan lain seperti urusan perubatan yang diserahkan kepada pakar perubatan, urusan ekonomi kepada pakar ekonomi dan berbagai-bagai lagi disiplin ilmu.

Ustazah Suriani Sudi
Timbalan Ketua Wanita ISMA
Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, KUIS
Kolumnis Majalah IMAN.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan Wanita ISMA
Pensyarah Perubatan, USIM
- June 12, 2014

No comments

Post a Comment

"Berfikir tanpa kotak"

Ar Ra'isul Mutakallim, Tabligh Ki Zabaan (Lidah Tabligh) Hadrat Maulana Umar Palanpuri Rahmatullahu 'alaihi berkata: "Orang yang kuat adalah orang yang sanggup bertahan dalam arus kerosakan. Orang yang lebih kuat adalah orang yang sanggup melawan arus kerosakan. Namun orang yang paling kuat adalah orang yang sanggup merubah arah arus kerosakan hingga menjadi akannya arus kebaikan.”

“Dajjal bersama tenteranya mempunyai kekuatan yang amat istimewa dan amat tersusun. Begitu juga Yakjuj dan Makjuj membuat huru-hara di seluruh dunia. Kehebatan mereka tiada siapa yang dapat melawan dan orang beriman berundur dengan hanya makan zikir dan tasbih."

"Allah zahirkan kudratnya hanya dengan labah-labah yang kecil dijadikan asbab untuk menggigit tengkuk-tengkuk mereka hingga mati. Mayat mereka begitu busuk diseluruh dunia. Orang beriman tidak tahan terus berdoa pada Allah. Allah ta'ala hantarkan hujan dan banjir menghanyutkan mereka ke laut. Inilah yang akan berlaku di akhir zaman nanti."

"Amalan dakwah memisahkan hak dan batil seperti air menghanyutkan sampah dari emas dan logam-logam yang lain. Namun pekerja² agama jika wujud cinta dunia dalam hati mereka seperti emas dan disaluti logam-logam lain, maka banyak masalah yang akan timbul.”