31 Oktober 2014 - Hari ini, badan bukan kerajaan (NGO) Sisters In Islam memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan fatwa Selangor mengharamkan pertubuhan itu kerana dianggap sesat.
Menurut laporan The Malaysian Insider, pertubuhan yang lebih dikenali sebagai SIS, menamakan tiga responden iaitu Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan Selangor.
Semakan tersebut difailkan pada jam 10.30 pagi tadi dan dibuat melalui Tetuan Azzat dan Izzat. Dalam permohonnnya, SIS mahu membatalkan pengisytiharan haram itu.
Pertubuhan itu juga memohon supaya ia diiktiraf sebagai badan yang dijamin mengikut Akta Syarikat 1965 dan tidak terikat dengan fakta itu.
Menurut Pengarah Eksekutif ISIS, Ratna Othman, SIS juga memohon mahkamah mengiktiraf NGO itu terjamin kedudukannya di bawah perlembagaan.
“SIS mahu jaminan supaya hak kami perlu dihormati mengikut perlembagaan persekutuan.” Mengulas lanjut tentang isu ini dalam sidang media yang didakan di Petaling Jaya sebentar tadi, Ratna berkata, dia hanya menyedari SIS diharamkan melalui laman e-fatwa milik JAKIM pada 20 Oktober lalu.
“Kami kecewa kerana tidak diberitahu atau dipanggil untuk memberi penjelasan sebelum jawatankuasa fatwa mengisytiharkan SIS sebagai menyeleweng.”
Ratna berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai salah guna kuasa oleh badan agama kerana menggunakan fatwa bagi mengekalkan pemerintahan agama secara diktator.
Ujarnya, sebarang perselisihan pandangan dalam Islam perlu didebat secara terbuka dan bukan dipaksa menggunakan saluran fatwa dan hukuman Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Datuk Zaid Ibrahim, Datin Paduka Marina Mahathir dan Zainah Anwar.
Pada Julai lalu, Fatwa Selangor mewartakan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan dan institusi yang berpegang kepada fahaman ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme’ agama sebagai sesat dan lari dari ajaran Islam sebenar.
Selain itu, bahan-bahan penerbitan yang mempunyai unsur sama juga diharamkan dan boleh dirampas. Fatwa juga mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyekat laman yang menyebarkan doktrin tersebut.
Manakala bagi individu yang berpegang kepada dakyah berkenaan hendaklah bertaubat dan kembali ke Islam yang sebenar.
Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan SIS yang mencabar majlis fatwa diibaratkan seperti mencabar institusi Raja Melayu serta Perlembagaan.
Katanya, “Ia hanya meluaskan sengketa dan degil untuk menjebak masyarakat awam kepada aliran songsang yang dinamakan Islam. Inilah satu bentuk pelampau agama yang mesti ditangani pihak kerajaan agar tidak membarah dalam masyarakat.” – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR
No comments
Post a Comment