Friday, June 7, 2013

DAP YAKIN TAWAN PUTRAJAYA PRU14

6/6/2013 - Surat Terbuka Setiausaha Agung DAP kepada semua cawangan DAP Mencapai Kemenangan Me... thumbnail 1 summary
6/6/2013 - Surat Terbuka Setiausaha Agung DAP kepada semua cawangan DAP

Mencapai Kemenangan Melalui Kebebasan, Harapan Dan Peluang Untuk Kemakmuran Dan Daya Saing Di Malaysia Dengan Melatih Bakat Kepimpinan Baru, Memodenkan Infrastruktur, Mewujudkan Kepimpinan Bersih Dan Urus Tadbir Yang Baik

DAP mencatatkan keputusan paling cemerlang dalam sejarah pilihan raya kita bagi Pilihan Raya Umum 2013, dengan memenangi 38 daripada 51 kerusi Parlimen dan 95 daripada 103 kerusi negeri yang kita tandingi. (Dengan 12 kerusi yang sedia ada di Sarawak, DAP kini mempunyai 107 Ahli Dewan Undangan Negeri). Kita merasa bangga DAP kini adalah parti yang benar-benar Malaysia kedua terbesar dengan wakil rakyat terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan Kadazan.

Keputusan berani pemimpin DAP, Sdr Lim Kit Siang untuk menanggung risiko besar dengan bertanding di kubu kuat BN di Gelang Patah berjaya menangkap imaginasi masyarakat di seluruh negara dan merupakan faktor utama dalam memacu kemenangan pilihan raya DAP, terutamanya di Johor.

DAP juga memenangi undi popular, dengan mencatatkan majoriti tertinggi lebih 50,000 oleh Sdri Teresa Kok serta membantu Pakatan Rakyat memenangi majoriti 2/3 di negeri-negeri kubu kuat kita di Pulau Pinang dan Selangor. Kita memenangi semua kerusi di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah. Dari segi undi popular, tidak ada negeri yang menghampiri jumlah 68% seperti yang diperolehi Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, lonjakan peningkatan 8% berbanding pilihan raya umum 2008.

DAP menang dengan menwarkan kebebasan, harapan dan peluang; berbanding penipuan, ketakutan dan politik wang. DAP menunjukkan bahawa ia memiliki jentera terbaik, yang paling bersedia dari segi organisasi dan dapat memberikan respon yang pantas terhadap situasi yang berlaku setiap hari. Salah satu titik perubahan utama adalah tindakan melampau BN dalam menggunakan politik wang, ancaman kekerasan dan pembohongan untuk memenangi pilihan raya umum. Tindak balas pantas DAP dalam menganjurkan “Go Bald To Protest Money Politics” sebuah kempen yang sangat memberi kesan kepada pengundi atas pagar dan memusnahkan apa sahaja baki sokongan kepada BN. Ramai wanita di seluruh negara bersedih apabila mereka melihat isteri saya dan wanita DAP membotakkan kepala dan terus memasang azam untuk menghukum BN.

Ini adalah kemenangan untuk semua rakyat Malaysia, dengan kadar keluar mengundi bersejarah yang mencapai 84%, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mahu mengambil bahagian dalam proses untuk menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi yang tulen. Pakatan Rakyat memenangi undi popular sebanyak 51% berbanding dengan hanya 47% untuk BN. Margin kemenangan adalah lebih besar di Semenanjung Malaysia sebanyak 53% bagi Pakatan Rakyat berbanding 45% untuk BN. Pakatan Rakyat memenangi 55% undi popular di Perak, namun tetap hilang kuasa.

Kita mempunyai kerajaan minoriti BN di Putrajaya, Perdana Menteri minoriti BN dan Menteri Besar minoriti BN di Perak. Demokrasi tidak membenarkan minoriti memerintah majoriti.

Terdapat keperluan mendesak bagi reformasi pilihanraya bagi menghormati prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai”. Tiga langkah akan diambil :-

1. Proses undang-undang untuk mencabar di mahkamah kerusi-kerusi yang dimenangi BN melalui penipuan, undi-membeli dan memanipulasi senarai pengundi melalui pengundi hantu dan Bangladeshi yang bukan warganegara;
2. Proses politik untuk mendesak reformasi pilihanraya dalam dewan legislatif, kempen-kempen awam dan forum antarabangsa.
3. Proses rakyat bagi menjalankan kempen gerakan rakyat, hanya jika perlu, untuk menuntut pilihanraya yang bersih, bebas dan adil.

Kepimpinan Politik dan Legislatif

Mesyuarat CEC DAP yang diadakan pada 10 Mei 2013 di Ibu Pejabat kebangsaan parti, selain daripada mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung kerana dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah membuat keputusan berikut:

1. Bahawa DAP akan menyokong pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Parlimen ke-13;
2. Bahawa Sdr Lim Kit Siang dilantik semula sebagai Ketua Parlimen DAP;
3. Pihak yang berikut wakil-wakil rakyat yang dilantik ke jawatan berikut di DUN masing-masing:
DUN Kedah: Sdr Teoh Boon Kok sebagai whip DAP;

DUN Perak: Sdr Ngeh Koo Ham sebagai whip DAP;

DUN Negeri Sembilan: Sdr Anthony Loke sebagai Ketua Pembangkang DUN, Sdr Cha Kee Chin sebagai whip;

DUN Melaka: Sdr Goh Leong San sebagai Ketua Pembangkang, Sdr Lim Jack Wong sebagai whip;

DUN Johor: Sdr Dr Boo Cheng Hau sebagai Ketua Pembangkang dan Sdr Tan Chen Choon sebagai whip;

DUN Pahang: Sdr Tengku Zulpuri sebagai Ketua Pembangkang dan Sdr Lee Chin Chen sebagai whip;

DUN Sabah: Sdr Dr Edwin Bosi sebagai whip;

DUN Sarawak: Sdr Wong Ho Leng dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang dan Sdr Chiu Chin Seng sebagai whip

4. Bahawa Sdr Gobind Singh akan menubuhkan sebuah pasukan undang-undang untuk menguruskan pelbagai petisyen pilihan raya yang mungkin boleh difailkan oleh calon DAP.

Respon tidak rasional BN

Tindak balas tidak rasional BN dengan menggunakan perkauman dan ekstrimisme bagi mengalihkan perhatian daripada kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 sudah boleh dijangka. Begitu juga dengan penutupan pusat-pusat khidmat oleh Gerakan dan MCA serta keengganan mereka untuk memegang jawatan-jawatan kerajaan. Walau bagaimanapun “sandiwara” oleh Gerakan dan MCA ini mungkin akan berlangsung hanya setahun sebelum mereka menerima perlantikan semula kepada pelbagai jawatan kerajaan dikhaskan untuk MCA.

Dalam pada itu, ini adalah satu peluang keemasan untuk wakil-wakil rakyat yang baru dipilih untuk memperlihatkan kehadiran dengan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh BN di kubu kuat mereka. Atas sebab ini, parti meletakkan penekanan yang tinggi terhadap perkhidmatan kepada keperluan rakyat, bagi membolehkan DAP untuk membina organisasi DAP sebagai sebuah gerakan rakyat untuk rakyat.

Sebagai langkah pertama, semua wakil rakyat mesti menubuhkan pusat perkhidmatan mereka dan membuat pertemuan bagi menyelesaikan masalah pengundi di kawasan mereka. Lebih penting lagi adalah kerja berpasukan – satu pasukan perkhidmatan mesti ditubuhkan di setiap tempat mengundi. Hari-hari di mana hanya satu orang yang melakukan semua kerja sudah berakhir. Tiada pasukan bermakna tiada impian kejayaan bagi DAP. Interaksi yang kerap mesti dilakukan antara pasukan perkhidmatan, pihak awam dan jabatan-jabatan kerajaan.

DAP telah mengamanahkan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Sdr Tan Kok Wai untuk memantau dan melaksanakan langkah-langkah ini dengan kuasa penuh untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana wakil rakyat yang gagal untuk melaksanakannya. Sdr Tan akan dibantu oleh pemimpin CEC Sdri Teresa Kok, Sdr Anthony Loke, Sdr Tony Pua, Sdr Kulasegaran dan Sdr Vincent Wu. Sdri Teresa Kok akan memberi penekanan yang lebih kepada Sabah dan Sarawak.

DAP juga mencadangkan sebuah anjakan dari sekadar pusat-pusat perkhidmatan biasa untuk wakil-wakil rakyat kita dengan sebaliknya mewujudkan pusat-pusat komuniti.

Penekanan harus sentiasa diberi kepada usaha membina pasukan kita, memberi peluang kepada golongan muda dan belajar untuk berada dalam kerajaan. Kita ingin menggesa pemimpin-pemimpin di semua negeri untuk datang ke Pulau Pinang bagi membiasakan diri mereka dengan pengurusan kerajaan sebagai sebahagian daripada persediaan kita untuk mengambil alih Putrajaya dalam masa 5 tahun.

Ingatlah bahawa DAP menang dengan menawarkan kebebasan, harapan dan peluang untuk kemakmuran dan daya saing di Malaysia dengan melatih bakat kepimpinan baru, memodenkan infrastruktur, mewujudkan kepimpinan bersih dan urus tadbir yang baik.

Perjalanan ini adalah jauh dan sukar. Jagalah kesihatan anda. Kerja keras dan selamat maju jaya.

LIM GUAN ENG
Setiausaha-Agung

No comments

Post a Comment

"Berfikir tanpa kotak"

Ar Ra'isul Mutakallim, Tabligh Ki Zabaan (Lidah Tabligh) Hadrat Maulana Umar Palanpuri Rahmatullahu 'alaihi berkata: "Orang yang kuat adalah orang yang sanggup bertahan dalam arus kerosakan. Orang yang lebih kuat adalah orang yang sanggup melawan arus kerosakan. Namun orang yang paling kuat adalah orang yang sanggup merubah arah arus kerosakan hingga menjadi akannya arus kebaikan.”

“Dajjal bersama tenteranya mempunyai kekuatan yang amat istimewa dan amat tersusun. Begitu juga Yakjuj dan Makjuj membuat huru-hara di seluruh dunia. Kehebatan mereka tiada siapa yang dapat melawan dan orang beriman berundur dengan hanya makan zikir dan tasbih."

"Allah zahirkan kudratnya hanya dengan labah-labah yang kecil dijadikan asbab untuk menggigit tengkuk-tengkuk mereka hingga mati. Mayat mereka begitu busuk diseluruh dunia. Orang beriman tidak tahan terus berdoa pada Allah. Allah ta'ala hantarkan hujan dan banjir menghanyutkan mereka ke laut. Inilah yang akan berlaku di akhir zaman nanti."

"Amalan dakwah memisahkan hak dan batil seperti air menghanyutkan sampah dari emas dan logam-logam yang lain. Namun pekerja² agama jika wujud cinta dunia dalam hati mereka seperti emas dan disaluti logam-logam lain, maka banyak masalah yang akan timbul.”