Oleh - Prof Dr Ismail
Melihat kunjungan PM Najib ke masjid Sri Petaling malam tadi, beramah
mesra dan bersembahyang kemudian mendengar tazkirah dengan para jemaah
di masjid tersebut, mengingatkan saya kepada pencarian kumpulan yang
mungkin agak berkecuali untuk menjadi "jalur ketiga" dalam memberikan
pandangan tentang perselisihan pendapat mengenai Islam di dalam dunia
politik negara kita ini.
Saya teringat begitu kerana selama ini jalur ketiga yang sering muncul,
terutamanya di media cetak atau letronik, sering dilihat sebagai
golongan yang berat sebelah kepada ideologi politik kepartian, walau pun
hakikatnya tidak begitu.
Kumpulan Tabligh ini, menurut fahaman saya, menumpukan aktiviti dan
kefahaman mereka semata-mata untuk dakwah mengikut cara mereka, iaitu
berat kepada kerohanian dan kehidupan sederhana dengan keterampilan
serta methodologi dakwah mereka sendiri yang amat unik.
Mereka tidak kelihatan dalam aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan
politik negara dan pentadbirannya, sepanjang yang saya saksikan, iaitu
selain dari bermuhasabah diri dan bertazkirah sesama kumpulan mereka,
sama ada di dalam atau di luar negara.
Oleh itu saya rasa, kumpulan ini amatlah dekat dengan kehidupan
kerohanian manusia Muslim yang asli dan bersih dari sebarang permainan
dunia kebendaan dan kemegahan yang sering menjadi amalan umat Islam
sekarang ini, dan mereka juga nampakya menjauhkan diri dari terlibat
secara langsung atau tidak langsung dengan kehidupan yang penuh dengan
fitnah serta pergeseran di antara sesama umat yang dapat kita saksikan
amat berleluasa pada hari ini, dan mulai menjalar dengan bahayanya ke
dalam masyarakat Islam di negara kita ini.
Oleh itu saya fikir, masanya telah tiba bagi para pemimpin dan ketua
kumpulan ini untuk keluar ke tengah-tengah masyarakat Islam di negara
kita ini dan melihat serta mengkaji akan bibit-bibit perpecahan dan
pergeseran di antara umat Islam yang berpecah akibat dari permainan
politik kepartian pada hari ini, dan mungkin boleh memainkan peranan
mereka untuk menyumbang pemikiran dan pandangan bagi membawa pemikiran
umat Islam keseluruhannya, tanpa mengira ideologi politik kepartian, ke
arah penyatuan pandangan dan ilmu tentang sesuatu isu yang menjadi
pertikaian itu.
Sebagai kumpulan yang tidak terlibat dengan ideologi politik kepartian,
mereka mungkin dapat bertindak dengan lebeh adil dalam menganalisa
sesuatu isu bagi negara kita ini, kerana isu-isu yang sering ditimbulkan
oleh politik partisan ialah isu-isu popular untuk menarik pengundi bagi
menyokong parti yang tertentu dalam PRU ke-13 nanti, walau pun isu itu
sebenarnya amat bertentangan dengan ajaran Islam sendiri, seperti isu
kalimah Allah, negara Islam atau sekular, perjuangan Islam atau tidak,
menolak agama dan sebagainya, yang sering menjadi fitnah dalam
masyarakat Islam di negara kita dan mengelirukan orang awam yang tidak
memahami isu yang sebenarnya, malah mendapat persepsi yang amat salah
dalam kebanyakan hal.
Kumpulan Tabligh sendiri haruslah memahami isu-isu yang dipertikaikan
ini dari perspektif Islam yang sebenarnya, bukan dari analisis politik
partisan, dan sebagai kumpulan yang sentiasa berdampingan dengan ilmuan
dan pendakwah, dalaman dan luar negara, mereka sepatutnya memahami
isu-isu ini tanpa taksub dan sebagainya, malah mereka tentulah juga
merupakan golongan rakyat yang bertanggung jawab untuk mengundi di dalam
pilihan raya.
Saya tidak fikir kumpulan ini menglami sebarang gangguan atau tekanan
dari pihak berkuasa negara kita ini, sama ada Kerajaan Persekutuan atau
Kerajaan Negeri atau agensi-agensi agama di sini, yang menunjukkan
bahawa sebarang aktiviti mereka adalah dipandang sebagai aktiviti yang
sihat semata-mata untuk berdakwah kepada ajaran agama Islam yang suci
murni. Pendirian ini amatlah baik bagi mereka untuk mendapatkan ruang
yang luas bagi menjalankan aktiviti mereka dengan rancaknya di negara
kita ini.
Oleh itu saya rasa mereka juga akan mendapat simpati dan kerjasama dari
Kerajaan sekiranya mereka mempunyai niat suci dan semangat keislaman
yang kental untuk membantu perkembangan dan pembangunan dakwah Islamiah
sebagai aktiviti arus perdana di tengah-tengah masyarakat di negara kita
ini.
Yang saya sebutkan ini hanyalah merupakan pandangan peribadi saya
sahaja, sebagai orang biasa yang menghormati aktiviti dan pendirian
kumpulan Tabligh ini. Saya juga tidak pasti apakah kefahaman saya
tentang kumpulan ini seperti yang saya catatkan di atas, benar atau
tidak. Kalau benar, alhamdulillah, dan kalau tidak, saya mohon maaf,
tetapi sebagai kumpulan yang amat gigih berdakwah, saya rasa masanya
amat sesuai bagi mereka untuk keluar ke tengah-tengah masyarakat Islam
di negara kita ini bagi membantu kekalutan pemikiran dan kekeliruan
fahaman agama yang sering timbul dalam aktiviti keislaman yang
bersadurkan politik kepartian yang melampau.
Kumpulan ini tentulah mempunyai niat yang baik untuk kesatuan ummah. Oleh itu kesatuan ummah yang telah tertegak dengan kukuhnya selama ini haruslah dipertingkatkan lagi, bukan dikucar kacirkan kerana pertikaian masalah politik sempit yang menggunakan platform Islam dan syiarnya.
Kumpulan ini tentulah mempunyai niat yang baik untuk kesatuan ummah. Oleh itu kesatuan ummah yang telah tertegak dengan kukuhnya selama ini haruslah dipertingkatkan lagi, bukan dikucar kacirkan kerana pertikaian masalah politik sempit yang menggunakan platform Islam dan syiarnya.